• Ada Lagi Yang Akan Dipanggil - KPN

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menyerahkan kertas siasatan berhubung isu tanah FELDA di Jalan Semarak kepada Jabatan Peguam Negara, hujung minggu depan.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan masih dijalankan pihaknya, termasuk akan memanggil individu untuk merekodkan keterangan.

    "Saya tidak boleh menyatakan peratusan siasatan ini sudah dilakukan. Ia bergantung kepada kepada siasatan dan keterangan yang diambil oleh pegawai penyiasat.

    "Tapi kita serius menjalankan siasatan ini dan berharap dapat menyerahkan siasatan pada minggu depan. Namun, ia bergantung kepada perkembangan siasatan yang dijalankan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan pejabat baharu Sekretariat ASEANPOL di Menara Bank Rakyat, di sini.

    Pada majlis sama, Mohamad Fuzi turut menyaksikan penyerahan tugas Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANPOL, Inspektor Jeneral Yohanes Agus Mulyano kepada Kolonel Kenechanh Phommachack dan Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat ASEANPOL, Superintenden Ferdinand R P Bartolome kepada Superintenden Jim Wee Aik Boon.

    PDRM menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah FELDA di Jalan Semarak.

    Minggu lalu, bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad antara yang dipanggil memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berhubung isu pemindahan hak milik tanah FELDA itu.

    Pada 21 Disember lalu, BH menerusi laporan eksklusifnya melaporkan, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ada Lagi Yang Akan Dipanggil - KPN "