• Abdul Taib Yakin Keupayaan Abang Jo

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 30 January 2018
    A- A+

    PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yakin Dasar Ekonomi Digital mampu meletakkan Sarawak di landasan tepat bagi mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan.

    Beliau berkata, ini kerana dasar yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg itu akan membuka lebih banyak peluang untuk generasi muda kita terbabit dalam bidang keusahawanan.

    Abdul Taib menyatakan beliau yakin anak-anak muda Sarawak yang kreatif dan inovatif sesuai dengan kehendak era digital serta mampu mencipta nama dalam bidang masing-masing di peringkat antarabangsa.

    "Anak-anak muda sebagai generasi pemimpin masa depan negeri kita ini harus merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi digital.

    "Saya juga amat mengharapkan agar semua pihak menghargai dan menyokong usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ianya memberi manfaat kepada kita semua, katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Khas Sempena Ulang Tahun Ke-150, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pagi tadi.

    Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kecuali Violet Yong (DAP - Pending) menghadiri persidangan khas berkenaan.

    Abdul Taib menjelaskan era digital akan mengubah cara hidup dan bekerja, justeru beliau mahu rakyat negeri ini terus membina kekuatan dan jati diri dalam usaha mengejar pembangunan dan cabaran.

    Berpengalaman 22 tahun sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau juga yakin pendekatan baharu pembangunan negeri diperkenalkan oleh kepimpinan Abang Johari, seperti penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

    "Malah, saya juga gembira kerana kepimpinan Abang Johari terus memperjuangkan hak dan kepentingan negeri Sarawak khususnya dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak eksklusif terhadap persempadanan perairan laut dan sumber galian kita," katanya.

    DUN Sarawak adalah institusi perundangan tertua dan terbesar di negara ini ditubuhkan pada 8 September 1867 di Bintulu oleh Rajah Putih kedua, Charles Brooke.

    Ketika itu, institusi penggubalan dasar pentadbiran dan perundangan negeri itu dikenali sebagai Majlis Umum sehinggalah ditukar kepada Majlis Negeri pada 1903.

    Pada 1976, Majlis Negeri ditukar pula kepada DUN, selaras dengan nama institusi perundangan lain di negara ini.

    Terdahulu, Abdul Taib menghadiri Istiadat Perbarisan dan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Dataran Perbarisan DUN Sarawak. - BHOnline
  • No Comment to " Abdul Taib Yakin Keupayaan Abang Jo "