• 9 Isu Sosial Terus Diberi Perhatian

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak memfokuskan sebanyak sembilan fokus utama pada tahun ini.

    Menurut menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, antara perkara yang difokuskan adalah berkaitan dengan penyalahgunaan dadah dan ‘substance,’ keganasan rumah tangga, jenayah harta benda, penyakit kelamin berjangkit (HIV/AIDS), gelandangan, jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta wanita, perkahwinan dan perceraian, kehamilan remaja dan masalah dokumen pengenalan diri.

    Memetik laporan Utusan Borneo, dalam usaha memastikan perancangan berjalan dengan lancar, MPS akan menganjurkan beberapa program lain sepanjang tahun seperti Wacana Bestari, Dialog Input Komuniti Terhadap Isu-Isu Sosial, Jerayawara Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil, Program Intervensi Sosial dan bengkel.

    Fatimah berkata,enam kajian yang merupakan kesinambungan kepada kajian yang telah dilakukan pada tahun lalu diteruskan lagi diantaranya adalah berkaitan dengan kajian Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak, Penilaian Keberkesanan Latihan bagi Kursus disediakan oleh Pusat Latihan Wisma Wanita, Penyertaan Wanita dalam kepimpinan Badan Bukan Kerajaan di Peringkat Akar Umbi di Sarawak (2018-2030), Faktor-Faktor menyumbang kepada Kehamilan Remaja di Kapit, Penggunaan Dadah Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah di Sarawak dan Kajian Komprehensif Faktor-Faktor Membawa kepada Kanak-Kanak Tanpa Kerakyatan di Sarawak.

    “Isu-isu berkenaan saling berkaitan dan harus ditangani secara holistik serta komprehensif memandangkan statistik menunjukkan berlakunya peningkatan membimbangkan setiap tahun.

    “Bagi tujuan itu katanya, enam kajian dan penyelidikan sosial akan dilakukan sepanjang tahun ini menerusi kerjasama antara MPS dan universiti-universiti awam melibatkan anggaran kos RM1,040,000.” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pelan Strategi MPS 2018 di Bilik Mesyuarat Utama KWKPK di bangunan Baitulmakmur semalam.-Sarawakiana
  • No Comment to " 9 Isu Sosial Terus Diberi Perhatian "