• 70 Gelandangan Berjaya Diselamatkan Sejak 2016 – Fatimah

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Seramai 70 gelandangan berjaya diselamatkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) semenjak operasi menyelamat djalankan pada 2016.

    Pada tahun 2016 seramai 40 gelandangan berjaya diselamatkan dalam empat operasi dijalankan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, kata menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, daripada jumlah tersebut, 16 gelandangan dijejak di Sibu, diikuti 13 di Miri, tujuh di Kuching dan empat di Bintulu.

    “Pada 2017 KWKPK telah melancarkan Operasi Menyelamat Gelandangan di tujuh lokasi iaitu Kuching, Sibu, Miri, Bintulu , Mukah, Lawas dan Limbang dengan 30 gelandangan telah ditangkap.

    “Sibu mencatatkan jumlah yang teramai iaitu 16 diikuti Miri (tujuh), Kuching (empat), Bintulu (tiga), Mukah, Lawas dan Limbang masing-masing sifar,” katanya.

    Katanya, faktor menyumbang kepada gelandangan ialah mempunyai masalah keluarga serta ketagihan alkohol, tiada pekerjaan dan masalah mental.

    Jelas Fatimah lagi, antara tindakan susulan diambil ke atas gelandangan ditangkap ialah ditempatkan di Anjung Singgah dan dihantar ke pangkuan keluarga.

    “Kita mendapati kebanyakan kes gelandangan ini melibatkan mereka yang datang jauh untuk mencari pekerjaan.

    “Sebagai contoh, kes di Miri, trend menunjukkan gelandangan bukan orang tempatan atau orang Miri tetapi mereka datang dari Sibu dan Kapit untuk mencari pekerjaan tetapi terpaksa hidup sebagai gelandangan kerana tiada tempat tinggal,” jelasnya.

    Sehubungan itu katanya, kajian terperinci akan dilakukan bagi membolehkan profil lengkap dibuat sebagai garis panduan kepada kementerian untuk mengambil langkah sewajarnya membendung masalah tersebut.

    “Operasi menyelematkan gelandangan akan diteruskan pada masa sama mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " 70 Gelandangan Berjaya Diselamatkan Sejak 2016 – Fatimah "