• 600 Doktor Pakar, Doktor Biasa Di Sarawak & Sabah Ditambah

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    MIRI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah seramai 600 orang doktor pakar dan doktor biasa secara berperingkat bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini.

    Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Helmi Yahaya, setakat ini seramai 4,800 pakar telah ditempatkan di semua hospital termasuk di Sabah dan Sarawak.

    Memetik laporan Utusan Borneo, KKM mensyaratkan doktor-doktor pakar yang baharu lulus ini ditempatkan di Sabah dan Sarawak.

    “Ketiga-tiga hospital utama di Sarawak membabitkan Hospital Umum Sarawak di Kuching, Hospital Sibu dan Hospital Miri masing-masing mempunyai doktor pakar.

    “Kita menyedari kekurangan doktor pakar di seluruh negara, sebab itu kementerian sentiasa berusaha menambah bilangan doktor pakar secara berperingkat,” katanya.

    Beliau memberitahu, Miri mempunyai 15 doktor pakar major manakala selebihnya pakar minor, namun kemudahan di hospital tersebut perlu dinaik taraf.

    “Kita sudah merancang satu blok tambahan merangkumi 324 katil untuk wad perubatan memandangkan jumlah pesakit di sini juga semakin bertambah,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, Kementerian juga akan menaik taraf kemudahan klinik-klinik di luar bandar Sarawak termasuk yang telah usang.

    “Semua klinik jenis kayu akan dinaik taraf supaya dapat menawarkan perkhidmatan untuk ibu mengandung, ibu dan anak serta pesakit luar.

    “Klinik Kesihatan (KK) Tahap 7 yang akan dibina secara berperingkat di luar bandar mengikut keperluan penduduk di kawasan itu,” jelasnya. – Sarawakiana

  • No Comment to " 600 Doktor Pakar, Doktor Biasa Di Sarawak & Sabah Ditambah "