• 59 Disyaki Kaki Judi Ditahan Dalam 41 Serbuan - Dev

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+




    KUCHING: Operasi polis untuk membenteras perjudian haram dipergiatkan ke minggu kedua tahun baru 2018 dengan berpuluh-puluh pengusaha dan individu yang disyaksi kaki judi berjaya ditangkap dalam 41 serbuan di seluruh Sarawak.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pasukan JSJ dari Ibu Pejabat telah dihantar ke 6 daerah dan melancarkan serbuan paling banyak bagi membanteras perjudian haram.

    “Dari 8 hingga 14 Januari 2018, Jabatan Siasatan Jenayah melancarkan 41 serbuan terhadap aktiviti perjudian haram dan berjaya menahan 59 individu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, ianya termasuk sebanyak 16 serbuan terhadap di kedai serbaneka dan kedai kopi yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai bagi tujuan judi atas talian.

    Beliau memberitahu, pasukan JSJ Ibu Pejabat telah menggerakkan 23 serbuan, manakala selebihnya serbuan dilakukan JSJ Daerah yang menyaksikan Sibu - 4 serbuan, Miri - 3 serbuan, Kuching - 2 serbuan, Padawan - 2 serbuan, Sarikei - 2 serbuan, Bintulu - 1 serbuan, Sri Aman - 1 serbuan, Kota Samarahan - 1 serbuan, Betong - 1 serbuan dan Limbang - 1 serbuan.

    Dalam usaha berterusan menghapuskan perjudian atas talian, serbuan terhadap kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai kepada penjudi atas talian turut dipertingkat.

    “16 serbuan dijalankan di 7 daerah (Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei dan Lubok Antu) telah membawa kepada penangkapan seramai 26 pembekal perkhidmatan berkaitan perjudian dan merampas 21 tablet dan telefon bimbit dan wang tunai berjumlah dua RM13, 988.

    “Manakala pasukan JSJ dari Ibu Pejabat melakukan 3 serbuan di Kota Samarahan, 3 di Sri Aman dan 2 di Lubok Antu,” ujarnya.

    Selain itu, menurut Dev, sebanyak 25 serbuan turut dilancar di kaunter menjual nombor ekoar secara haram di 9 daerah. Serbuan tersebut telah berjaya menahan 33 individu dan merampas wang tunai berjumlah RM6,705.

    Antara yang turut dirampas, telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis turut dirampas.

    Beliau menambah, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat turut melakukan 6 serbuan di Kuching, 4 di Bau, 3 di Padawan dan masing-masing satu di Kota Samarahan dan Sri Aman.

    “Daripada 59 orang yang ditangkap, 32 lelaki manakala selebihnya adalah perempuan. Mereka berumur antara 15 dan 53 tahun.

    “Antara yang ditahan kerana disyaki menyediakan perkhidmatan menjual kad nilai tambah bagi tujuan perjudian atas talian, 3 daripadanya masih di bawah umur dipercayai tercicir dari Sekolah.

    “Seorang budak lelaki berusia 15 tahun telah ditangkap di Bintulu manakala dua kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun ditahan di Bau dan Kota Samarahan,” katanya

    Kesemua yang ditahan untuk diambil keterangan dan disiasat atas kesalahan di bawah Akta Rumah Judi 1953.

    Dev berkata, sebagai sebahagian daripada pendekatan pelbagai peringkat dalam memerangi perjudian haram di negeri ini, melalui kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan, pihak polis turut mencadangkan kepada pihak pejabat daerah agar melakukan semakan terhadap mana-mana Lesen Premis Perniagaan yang telah terlibat dalam aktiviti haram. – Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " 59 Disyaki Kaki Judi Ditahan Dalam 41 Serbuan - Dev "