• 4,884 kes tatatertib polis tahun lalu

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+


    NIBONG TEBAL: Sejumlah 4,884 kertas siasatan membabitkan tindakan tatatertib terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) direkodkan Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, sepanjang tahun lalu.

    Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi, berkata siasatan dan tindakan berkenaan dibuat hasil aduan yang diterima pihaknya termasuk menerusi pemeriksaan pematuhan dan pengesanan yang dilakukan terhadap anggota PDRM.

    "Daripada jumlah itu, sebanyak 2,591 kertas siasatan tatatertib dibuka, sementara 2,993 kes adalah untuk siasatan dalaman.

    "Malah, sepanjang tahun lalu juga, JIPS menerima 3,180 maklum balas yang meliputi maklumat, cadangan, komen, penghargaan dan aduan daripada orang ramai berkaitan pelbagai perkara membabitkan PDRM," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Sungai Acheh di sini, hari ini.

    Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus dan Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan.

    Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, JIPS berperanan sebagai salah satu medium utama untuk menerima atau mendengar masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

    "Daripada 3,180 maklum balas yang diterima itu, sebanyak 2,749 atau 86 peratus daripadanya sudah berjaya diambil tindakan. Baki 14 peratus atau 431 masih dalam siasatan.

    "Selain itu, sejumlah 348 aduan dan maklumat diabaikan kerana tiada asas untuk diambil tindakan atau siasatan," katanya.

    Beliau berkata, mengikut rekod pihaknya, sebanyak 133 atau 4.18 peratus maklum balas yang diterima datang daripada warga PDRM sendiri dan 2,000 atau 62.89 peratus dibuat oleh orang awam.

    "Baki 1.047 atau 32.93 peratus pula adalah maklum balas atau aduan yang disalurkan oleh jabatan kerajaan dan agensi luar," katanya.

    Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, PDRM sentiasa berusaha mempertingkatkan tahap kompentesi agensi itu dalam aspek penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dan tumpuan diberikan kepada usaha memperkasa intergriti, kredibiliti dan profesionalisme warga PDRM ke arah Kepolisan Berkelas Dunia.

    "Maka menjadi hasrat kita untuk melihat infrastruktur Balai Polis Sungai Acheh yang serba moden dan kondusif ini dapat menjadi pendorong kepada semua pegawai dan anggota untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat," katanya.

    INFO

    # Balai Polis Sungai Acheh siap dibina pada 18 Julai 2012

    # Mula beroperasi pada 16 September 2012

    # Dilengkapi bangunan utama tiga tingkat, lokap, kaunter trafik, pejabat cawangan khas, kuarters serta 18 buah rumah teres dua tingkat.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 4,884 kes tatatertib polis tahun lalu "