• 405 Pelajar Terima Bantuan Awal Persekolahan

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    ASAJAYA – Seramai 405 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sadong Hilir di sini menerima bantuan khas awal persekolahan (BKAP) sebanyak RM100 setiap seorang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau berharap semua ibu bapa yang menerima bantuan tersebut bagi mewakili anak-anak mereka dapat menggunakan wang itu untuk kegunaan persekolahan anak-anak sebaiknya.

    Beliau yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong berkata ibu bapa merupakan pemimpin dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

    “Untuk itu, jalankan amanah yang diberikan kepada kita sebaiknya agar anak-anak kita membesar dalam suasana positif dan menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat.

    “Apa lagi sekolah ini telah mencatatkan prestasi yang membanggakan apabila menduduki kedudukan keempat sekolah terbaik di Samarahan bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan tersebut.

    Nancy berkata menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas, kerajaan memperuntukkan RM328 juta untuk BKAP yang memberi manfaat kepada 3.2 juta pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. – BERNAMA
  • No Comment to " 405 Pelajar Terima Bantuan Awal Persekolahan "