• 4 Tokoh Masyarakat Dilantik Penasihat Kehormat KP SPRM

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye antara empat tokoh masyarakat yang dilantik sebagai Penasihat Kehormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    SPRM dalam satu kenyataan berkata, mereka adalah tokoh masyarakat dalam kalangan golongan profesional yang dilantik sebagai Penasihat Kehormat Ketua Pesuruhjaya SPRM.

    Katanya, pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Februari ini hingga 31 Januari 2020.

    Tiga yang lain adalah, Canselor Universiti MAHSA yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi; Pengerusi Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Dr Ramon V Navaratnam.

    "Penasihat ini berperanan memberi pandangan dan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung tindakan operasi, pencegahan, pendidikan dan lain-lain perkara berkaitan pelaksanaan aktiviti SPRM atas permintaan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

    "Mereka juga bertindak sebagai perantara kepada masyarakat dalam menyampaikan pandangan masyarakat berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

    "Selain itu, mereka juga berperanan dalam menyampaikan amanat dan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada masyarakat supaya seluruh warga Malaysia berganding bahu dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

    "SPRM percaya dengan berbekalkan pengalaman dalam bidang masing-masing, semua mereka dapat membantu merealisasikan hasrat SPRM dalam memastikan masyarakat Malaysia menjauhi budaya serta amalan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

    Sehubungan itu, SPRM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan ini dan yakin mereka dapat menyumbang kepada pemantapan tindakan serta usaha pencegahan rasuah dan salah guna kuasa oleh SPRM. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 4 Tokoh Masyarakat Dilantik Penasihat Kehormat KP SPRM "