• 4 maut, 'bom siklon' landa Pantai Timur AS

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    NEW YORK: Empat maut akibat nahas jalan raya, semalam berikutan cuaca buruk musim sejuk digelar 'bom siklon' di Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) yang membawa salji tebal dan sejuk melampau.

    Kejadian di tenggara Carolina Utara dan Selatan berikutan jalan licin hingga menyebabkan kenderaan gagal dikawal.

    Gelombang sejuk yang melanda sebahagian besar AS menjadi penyebab berpuluh maut akibat kematian terdahulu.

    Ribuan penerbangan dibatalkan dan sekolah terpaksa ditutup di kawasan setempat berikutan ribut salji melanda bahagian timur laut.

    Suhu menurun tenggara bandar raya ini menyebabkan Niagara Falls, air terjun gergasi di sempadan AS-Kanada, membeku.

    Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan berkata, suhu lebih tinggi tidak dijangka sehingga minggu depan dan salji juga belum reda sehingga lewat hari ini, disebabkan ribut bergerak ke arah timur laut ke Kanada.

    Peramal kaji cuaca menggelar keadaan cuaca ketika ini sebagai 'bom siklon', nama gelaran untuk fenomena dikenali sebagai 'bombogenesis'.

    Ia adalah sistem cuaca yang mengalami penurunan mendadak dalam tekanan atmosfera dan mengumpul kekuatan dengan pantas, melepaskan angin seumpama taufan.

    Rakyat AS di sepanjang Pantai Timur berdepan potensi bergelap dalam suhu sejuk melampau.

    Setakat ini, 24,000 penduduk di Virginia, 9,000 di Massachusetts dan ribuan lain di Georgia, Carolina Selatan dan Florida, terjejas.

    Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper meratapi kematian tiga orang di negerinya termasuk dua maut apabila trak pikap dinaiki mangsa tergelincir dari jambatan dan terbalik di sebatang anak sungai.

    Jalan raya ditutup di utara Florida dan tenggara Georgia di mana Gabenor Nathan Deal mengisytiharkan darurat di kawasan pantai.

    Dengan salji dijangka turun sehingga 30.5 sentimeter di sebahagian bandar raya ini dan Boston, diikuti angin kencang, sekolah ditutup.

    Datuk Bandar Bill de Blasio menggesa penduduk menjauhi jalan raya dan berhati-hati dengan serangan ribut. - AFP/BH

    Subjects:

  • No Comment to " 4 maut, 'bom siklon' landa Pantai Timur AS "