• 4 Jam Ayah Dalam Telaga

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    Seorang lelaki berusia 85 tahun terperangkap dalam telaga dengan ketinggian 7.5 meter (m) selama hampir empat jam sebelum disedari keluarganya di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, hari ini.

    Bagaimanapun dalam kejadian itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam telaga kira-kira 4 pagi ketika mengambil wuduk untuk solat sunat berikutan rumah mereka mengalami gangguan air.

    Kejadian disedari isterinya berusia 80 tahun ketika hendak mengambil air kira-kira 8.30 pagi.

    Anak mangsa, Rosidah, 64, berkata, ibunya meminta pertolongan jiran selepas menyedari mangsa ada di dasar telaga.

    "Ketika itu, saya sedang mengaji al-Quran di surau berhampiran sebelum bergegas pulang.

    "Kami sekeluarga menghubungi balai bomba untuk memaklumkan kejadian. Pasukan bomba menyelamatkan ayah sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut dan dibenarkan pulang ke rumah kerana tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di rumah, hari ini.

    Menurutnya, keluarga bersyukur kerana bapanya terselamat kerana paras air pada masa itu hanya 0.3m.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zaini Bidin berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 8.42 pagi.

    Katanya, khidmat khas itu mengambil masa selama 40 minit dengan menggunakan teknik sistem takal dan mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) sebelum dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 4 Jam Ayah Dalam Telaga "