• 36 Majikan Kumpulan Pertama Terima Pembantu Rumah Asing

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Sebanyak 36 majikan menjadi kumpulan pertama bakal menerima pembantu rumah asing (PRA) menerusi Sistem Maid Online (SMO) minggu ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

    Beliau berkata majikan tersebut telah menyiapkan urusan pendaftaran dan kini hanya menunggu kelulusan saringan kesihatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

    “Selepas mendapatkan kelulusan di Fomema, PRA kemudian akan dibawa ke pejabat imigresen untuk diambil biometrik, cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan i-Kad,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Setia Berjasa di sini, Selasa.

    Menurutnya, keputusan saringan kesihatan Fomema mengambil masa antara tiga hingga lima hari. Mustafar berkata sebanyak 127,991 PRA didaftarkan di negara ini setakat 31 Disember lepas.

    Katanya sehingga hari ini, SMO telah merekodkan sebanyak 111,000 orang pelawat sistem berkenaan dan seramai 3,141 majikan telah mendaftar dan mendapat ‘login' masuk, katanya.

    “Daripada jumlah 3,141, seramai 76 majikan telah melengkapkan pendaftaran dan dalam proses Fomema. Daripada jumlah 76 tersebut, 36 majikan sedang menunggu kelulusan Fomema. Kesediaan majikan menyediakan dokumen lengkap juga telah memudahkan proses permohonan PRA,” jelasnya.

    Terdahulu, Mustafar dalam ucapannya berkata, setiap pejabat Jabatan Imigresen di lapangan terbang akan melaksanakan sistem tapisan kedua kepada pelawat yang masuk dari negara sumber dan negara berisko tinggi.

    "Kami akan buat semakan teliti kemasukan pelancong, pelajar atau ekspatriat menerusi visa, biometrik dan pasport,” katanya.

    Mustafar menegaskan bahawa pihaknya tidak akan kompromi soal keselamatan kerana ia merupakan ketetapan dan dasar Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    "Kami akan sentiasa memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan pada masa sama, tidak membiarkan anasir luar memasuki negara sebegitu mudah,” katanya.-- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " 36 Majikan Kumpulan Pertama Terima Pembantu Rumah Asing "