• 3 Rumah Terjejas, Jalan Kampung Lama Terputus Hubungan

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+






    KOTA SAMARAHAN: Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku sekitar jam 1.30 petang tadi menyebabkan penduduk Jalan Kampung Lama, Tambirat di sini terputus hubungan.

    Akibat daripada kejadian runtuhan tanah tersebut tiga buah rumah turut terjejas, selain sistem paip air dan bekalan eletrik juga terputus.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada jam 1.35 petang , Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tanah runtuh di alamat Jalan Asajaya, Kampung Tambirat.

    Menurutnya, sejurus menerima laporan BBP Kota Samarahan telah menggerakkan aset dan keanggotaan ke lokasi dan mendapati kejadian tanah runtuh telah menyebabkan Jalan Kampung Lama telah terputus dengan anggaran keluasan seluas 30 x 30 meter.

    “Anggota Bomba bertindak membuat pemantauan serta memasang sawar-sawar untuk memberi amaran berjaga-jaga kepada orang awam di sekitar lokasi yang terjejas, serta membantu memindahkan barang-barang penghuni rumah yang terlibat ke rumah sanak saudara yang berhampiran,” katanya

    Beliau memberitahu pihaknya akan sentiasa membuat rondaan di sekitar lokasi kejadian untuk memastikan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

    Seramai 24 mangsa dari tiga buah keluarga yang terjejas kini dalam keadaan selamat dan berada di rumah sanak saudara berhampiran.

    Turut hadir di lokasi kejadian Ahli Parlimen Samarahan Hajah Rubiah Wang dan Pegawai Residen. – Sarawakiana
  • No Comment to " 3 Rumah Terjejas, Jalan Kampung Lama Terputus Hubungan "