• 3 Lelaki Subahat Terima Rasuah Direman

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    SEREMBAN: Tiga lelaki termasuk seorang pengarah syarikat yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana dipercayai bersubahat menerima rasuah, direman enam hari bermula hari ini.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nur Haryatie Mohd Saini selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim, pagi tadi.

    Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan terhadap tiga lelaki berusia 30 tahun hingga 47 tahun itu, dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Semalam, tiga lelaki itu ditahan SPRM kerana dipercayai bersubahat dengan kakitangan Telekom Malaysia (TM) menerima rasuah berjumlah RM4,250 pada tahun 2016 sehingga 2017.

    Bayaran itu bagi membolehkan kabel milik TM dibawa keluar untuk dijual di pasaran.

    Seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sendiri ditahan di rumahnya di sini, kira-kira jam 11.40 pagi semalam, manakala seorang pengarah syarikat berusia 47 tahun pula, ditahan di pejabat SPRM negeri jam 5.30 petang.

    Seorang juruteknik berusia 30 tahun pula ditahan di pejabat SPRM Johor pada jam 11 malam tadi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Lelaki Subahat Terima Rasuah Direman "