• 3 Beradik Meninggal Dalam Sujud Ketika Solat

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    JAKARA: Bukan seorang, tetapi tiga anak dalam sebuah keluarga besar di Makassar, Sulawesi ini meninggal pada usia muda sewaktu bersolat atau dalam posisi sujud, lapor laman detik.com.

    Minggu lalu, netizen Indonesia gempar apabila media tempatan melaporkan Allahyarhamah Andi Siti Aisyah Bahar kembali menemui Ilahi dalam keadaan sujud ketika membaca al-Quran selepas menunaikan solat fardu Subuh.

    Bagaimanapun menurut ibu Aisyah, Andi Ratna, ketika ditemui wartawan portal tersebut di kediamannya semalam, kini sudah tiga daripada lapan orang anaknya yang sudah meninggal dunia juga ketika mereka sedang beribadah.

    Wanita tersebut turut mendedahkan bahawa anak kedua dan ketiga beliau turut kembali ke Rahmatullah dalam keadaan ‘husnul khotimah‘ atau pengakhirang yang baik sewaktu mereka kebetulan berada di dalam masjid.

    “Abang Aisyah meninggal dalam keadaan sama, ketika sujud. Anak kedua dan ketiga itu juga meninggal di masjid semasa sedang solat,” kata Andi Ratna di Jalan Berua Raya Kompleks Kamaseang, Kecamatan Biringkanaya.

    Allahyarham Andi Ibrahim Bahar yang merupakan anak ketiga dan meninggal dunia pada usia 23 tahun semasa sedang melaksanakan iktikaf malam di masjid, tidak jauh dari rumahnya, pada tahun 2009, lapor detik.com.

    Seorang lagi abang Aisyah yang meninggal dalam cara serupa ialah Andi Asri Maranti. Namun allahyarham ketika itu menunaikan solat malam, tepat di tahiyat akhir. Andi Asri berusia 26 tahun dan merupakan anak kedua.

    Insiden unik berkenaan ujar Andi Ratna yang dipetik oleh portal tersebut, berlaku di salah sebuah asrama pesantren iaitu tempat pengajian agama Islam terkenal di kawasan Pondok Gede, Jakarta, pada tahun 2011 lepas.

    “Mereka semua meninggal dalam keadaan sujud. Allah lebih sayang mereka semua,” kata Andi Ratna sambil menitiskan air mata ketika bercerita mengenai Allahyarhamah Aisyah Bahar atau lebih mesra dikenali sebagai Ica.

    Mahasiswi terbaik lulusan institusi pengajian tinggi ternama tempatan, Universitas Hasanuddin pada 2016 baru diterima bekerja di Makmal Penternakan di universiti. Ica merupakan anak kelima daripada lapan adik-beradik

    Namun sehari sebelum masuk kerja pada 4 Januari lalu, Ica menghembuskan nafas terakhir. Gadis cantik tersebut yang bakal berkahwin tidak lama lagi, merupakan anak kepada pasangan Haji Andi Bahar dan Hajjah Andi Ratna.

    Allahyarhamah yang kebetulan berpuasa sunat Khamis pada hari tersebut baru pulang ke rumah usai solat subuh di masjid dengan ibu bapanya sebelum meninggal ketika membaca al-Quran. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Beradik Meninggal Dalam Sujud Ketika Solat "