• 220,000 Data Peribadi Penderma Organ Malaysia & Waris Pula Bocor

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+

    Selepas mendedahkan kebocoran data membabitkan 46.2 juta pengguna telefon bimbit Oktober tahun lalu, forum dalam talian Lowyat.net sekali lagi mengesahkan kebocoran 220,000 data peribadi melibatkan penderma organ warga Malaysia yang disiarkan dalam talian dipercayai sejak awal September 2016.

    Menurut Lowyat.net, kebocoran data tersebut melibatkan maklumat peribadi penderma dan saudara terdekat yang dikemaskini sehingga 31 Ogos 2016, dan mendaftar dengan hospital kerajaan dan pusat pemindahan organ.

    Kebocoran data tersebut adalah melibatkan nama penuh, kad pengenalan, nama saudara terdekat penderma, hubungan, alamat, nombor telefon, bangsa, jantina dan organ yang akan disumbangkan dari tahun 1997 hingga 2016.

    “Fail-fail dalam talian ini adalah sama dengan borang pendaftaran dalam talian di laman sesawang http://dermaorgan.gov.my, walau bagaimanapun, kami agak pasti bahawa data yang bocor tidak berasal dari borang dalam talian.

    “Kebocoran data itu mengandungi data yang didaftarkan di hospital kerajaan dan juga pusat pemindahan organ di seluruh negara - yang bermaksud ia diambil dari semua pangkalan data pusat," lapor lowyat.net.

    Lowyat.net menjelaskan fail (gambar di bawah) dibuang pada 19 Ogos, 2014 dan dimuat naik ke perkhidmatan perkongsian fail pada 29 September tahun yang sama – yang mana fail tersebut dibahagikan mengikut tahun pendaftaran, dari 1997 hingga 2016.

    “Walau bagaimanapun, sebab-sebab (pembuangan data tersebut) tidak dapat kami pastikan. Fail dari 1997 hingga 2008 dipenuhi data yang tidak berguna.

    “Bagaimanapun, fail dari Januari 2009 hingga Ogos 2016 mempunyai butiran peribadi lengkap membabitkan 220,000 individu yang mendaftar sebagai penderma organ, serta butir-butir peribadi waris mereka yang terdekat,” kata Lowyat.net.

    Forum tersebut juga memberi amaran bahawa kebocoran data tersebut mengundang risiko serius kerana ia melibatkan maklumat peribadi saudara terdekat yang boleh mendedahkan ancaman kepada mangsa.

    "Ini menjadikan jumlah kebocoran data meningkat dua kali ganda kepada 440,000, dan ia membabitkan dua individu yang mempunyai hubungan antara satu sama lain - sama ada suami isteri, adik beradik atau ibu bapa," menurutnya.

    “Kami telah menghubungi dan memaklumkan kepada PDP (Jabatan Perlindungan Data Peribadi) berhubung kebocoran data ini sebelum menyiarkan penemuan kami,” tambah Lowyat.net sambil menggesa semua organisasi yang mengendalikan data peribadi agar memastikan tahap keselamatan data orang awam yang telah diamanahkan kepada mereka.

    Terdahulu, Lowyat.net juga mengesahkan 46.2 juta nombor telefon bimbit daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan dibocorkan dalam talian.

    Setakat artikel ini disiarkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " 220,000 Data Peribadi Penderma Organ Malaysia & Waris Pula Bocor "