• 22 Beranak Tinggal Berhimpit

    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    SEBUAH keluarga membabitkan 22 individu memilih untuk tinggal berhimpit dalam sebuah rumah di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, sejak kira-kira 10 tahun lalu.

    Rumah milik Zahrah Daud, 58, dan suaminya, Zulkifli Derahman, 60, itu didiami bersama empat anak dan menantu serta cucu mereka.

    Zahrah berkata, dia mempunyai lima anak dan empat daripadanya sudah berkahwin namun tiga daripada mereka memilih untuk tinggal bersama akibat kesempitan hidup.

    Zahrah yang hanya menjual satay di Jalan Pengkalan Chepa rela anak menantu dan cucunya tinggal di situ kerana tidak sanggup melihat mereka merempat di tempat lain.

    “Siapa yang tidak sedih apabila memikirkan nasib diri, namun jika dibiarkan mereka tinggal menyewa, saya bimbang cucu tidak cukup makan disebabkan perlu jelaskan sewa rumah.

    “Anak sulung (Zainudin Zulkifli, 39) bekerja sebagai tukang rumah manakala isterinya tidak bekerja kerana perlu menguruskan enam anak mereka.

    “Anak kedua (Nor Sasilawati, 35) membantu saya menjual satay bagi membesarkan empat anak kerana suaminya yang juga tukang rumah berkerja di Jeli.

    “Anak bongsu (Ahmad Zuhairi, 26) turut menetap bersama isteri dan tiga anaknya yang masih kecil. Saya juga mempunyai seorang anak yang belum berkahwin,” katanya.

    Menurutnya, anak ketiganya, Norma, 31, memilih untuk tinggal berasingan.

    Zahrah mengakui pendapatan hasil jualan satay tidak mencukupi untuk mengisi perut mereka anak beranak malah ia juga perlu dikongsi dengan Nor Sasilawati dan Ahmad Zuhairi.

    “Kami bergilir menjual satay dan pendapatan diperoleh perlu dibahagikan disebabkan anak juga perlukan untuk belanja mereka sekeluarga. Hasil pun tidak banyak mana, jadi sekadar cukup makan pakai saja.

    “Saya kasihankan pada cucu dan menantu kerana mereka terpaksa berhimpit di ruang tamu dan tidur dalam keadaan tidak teratur tetapi, kami pun tiada pilihan kerana tidak mampu menyediakan rumah lain.

    “Makan dan minum lebih diutamakan kerana cucu semakin membesar,” katanya.

    Terdahulu, Zahrah menerima kunjungan Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa Zarina Md Eusope dan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) Mohd Zailani Abd Rahman yang hadir menyampaikan bantuan serta bertanya khabar.

    Zarina menyampaikan barang keperluan dan kelengkapan sekolah kepada keluarga berkenaan selain memberi jaminan akan membantu mereka.-mymetro

    Subjects:

  • No Comment to " 22 Beranak Tinggal Berhimpit "