• 17 Ajaran Sesat Baharu Dikesan Tahun Lalu

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Sebanyak 17 kumpulan ajaran sesat baharu yang menyeleweng daripada akidah Islam dikesan pada tahun lalu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati sebanyak 19 daripada 39 kumpulan ajaran sesat yang dikenal pasti sebelum ini masih bergerak aktif.

    "Inilah antara kebimbangan kita selaku umat Islam. Namun, hasil usaha komited dan konsisten JAIS dan agensi berkaitan, sebanyak 246 tangkapan dilakukan sepanjang tahun lalu berkaitan ajaran sesat ini.

    "Saya berharap usaha ini mendapat kerjasama semua pihak. Marilah kita usahakan dan mengetepikan perbezaan bagi memastikan usaha memartabatkan institusi ahli sunnah wal jamaah terus diperkasakan di Malaysia," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, Majlis Perundingan Islam (MPI) 2018 dengan tema 'Transformasi Dakwah dan Pemikiran Islam' di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MPI turut mengulangi hasrat kerajaan untuk memasukkan perkataan 'sunnah wal jamaah' dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memperincikan takrifan Islam sebagai agama Persekutuan.

    Selain itu, beliau juga menggariskan dua bentuk serangan terhadap pemikiran Islam yang perlu diawasi dan ditangani segera oleh umat Islam.

    "Bentuk pertama adalah meragukan ajaran Islam 'thabit' (bersandarkan hadis sahih) melalui fahaman relativisme, pentafsiran semula nas-nas agama, menggalakkan ijtihad baharu dan seumpamanya.

    "Yang kedua adalah dengan sisi praktikal sosiologi melalui fahaman pluralisme, hubungan rentas agama, aktiviti yang meraikan hak golongan yang dikatakan didiskriminasi seperti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender)," katanya.

    Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Ketua Kluster Ekonomi MPI bagi menggantikan Tan Sri Muhamad Ali Hashim yang meninggal dunia pada Oktober tahun lalu.

    Ahmad Zahid turut menerima resolusi daripada Kluster Pemikiran Islam dan Dakwah hasil Multaqa berkenaan.

    Multaqa yang masuk tahun keempat itu dihadiri 600 peserta dan turut diisi dengan pembentangan kertas kerja daripada ahli panel termasuk oleh Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 17 Ajaran Sesat Baharu Dikesan Tahun Lalu "