• 155,000 Pekebun Kecil, Penoreh Belum Mohon BMT

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Lebih 155,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara masih belum membuat permohonan untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) .

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata, setakat 1 November tahun lalu, pihaknya hanya menerima 328,112 permohonan.

    "Saya meminta 155,829 pekebun kecil dan penoreh getah yang masih belum memohon BMT untuk membuat permohonan sehingga akhir bulan ini.

    "Walaupun golongan penoreh lewat mendaftar pada bulan ini, mereka layak mendapat bantuan BMT ini untuk dua bulan sebelumnya," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, hari ini.

    BMT adalah bayaran RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan, mulai November dan Disember lalu serta Januari ini bagi menjaga kebajikan seramai 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah sewaktu musim tengkujuh.

    Beliau berkata, Malaysia komited dalam pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) bersama Thailand dan Indonesia, berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Mac depan.

    "Kerjasama ini untuk mengawal bekalan, permintaan pasaran terhadap getah dan menstabilkan harga pasaran getah.

    "Berdasarkan skim AETS ini Malaysia dijangka mengurangkan eksport getah sebanyak 20,000 metrik tan, Indonesia 95,190 metrik tan manakala Thailand sebanyak 234, 810 metrik tan," katanya.

    Siew Keong berkata, meskipun pengeluaran getah dikurangkan, penoreh tetap dibantu menerusi skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

    Sementara itu, katanya tahun lalu, eksport getah dijangka mencecah RM30 bilion, memperlihatkan peningkatan berbanding jumlah eksport RM24.8 bilion pada 2016. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 155,000 Pekebun Kecil, Penoreh Belum Mohon BMT "