• 15 ahli ‘Pemuda Panca Marga’ ditahan di Sabah

    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+
    KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan 15 individu disyaki ahli sebuah pertubuhan dikenali sebagai “Pemuda Panca Marga” menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Tas, Anderasi, Tawau, Sabtu lalu.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din ketika dihubungi Bernama berkata mereka yang ditahan pada pukul 4 petang itu terdiri daripada 7 wanita dan 8 lelaki berumur antara 13 dan 60 tahun.

    “Ketika ditahan, 11 daripadanya memakai pakaian celoreng. Bagaimanapun pihak polis tidak menemukan sebarang senjata ketika serbuan,” katanya.

    Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati kumpulan “Pemuda Panca Marga” ini ditubuhkan pada 1966 dan berpangkalan di Selatan Sulawesi, Indonesia.

    Siasatan awal mendapati kumpulan ini ditubuhkan untuk menjaga kebajikan pesara polis dan tentera serta pekerja Indonesia yang bekerja di Sabah.

    Ramli berkata siasatan awal juga mendapati individu yang ingin menganggotai kumpulan itu dikehendaki membayar sejumlah yuran tertentu.

    “Kita juga mendapati ada anggota kumpulan ini mendakwa ditipu dengan dijanjikan kononnya dengan menyertai kumpulan itu, mereka akan mendapat imuniti daripada undang-undang negara ini (Malaysia),” katanya.

    Pihaknya juga masih menyiasat untuk mengenal pasti siapa ketua kumpulan ini.

    Katanya selain disiasat mengikut Akta Pertubuhan, kumpulan ini juga disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

    Semua mereka direman untuk siasatan lanjut. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " 15 ahli ‘Pemuda Panca Marga’ ditahan di Sabah "