• 141 Projek RTP Di Pantai Damai Sejak 2015

    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Sebanyak 141 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai sejak tahun 2015.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, daripada bilangan tersebut, sebanyak 41 projek dilaksanakan tahun lepas melibatkan bina baharu, baikpulih, naiktaraf dan penyediaan tapak.

    Menurutnya, kategori projek merangkumi bangunan, jalan, parit, jeti, jambatan, kemudahan sukan, pontoon, benteng dan kemudahan lain untuk manfaat masyarakat.

    "Projek-projek tersebut bernilai RM5 juta setahun dan dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri melalui program RTP ini," katanya.

    Berdasarkan laporan Pejabat Residen Kuching dan agensi pelaksana, beliau yang juga Menteri Muda Utiliti, sebahagian projek telah siap sepenuhnya manakala sebahagian lagi masih dalam tempoh pelaksanaan.

    "Melalui projek RTP, ia mempercepatkan permohonan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung untuk dilaksanakan kerana ia terus melalui peruntukan kerajaan negeri.

    "Saya berpuas hati dengan pelaksanaan projek ini. Ia memberi manfaat dan rakyat dapat menikmati pembangunan yang berterusan," ujarnya.

    Dr Abdul Rahman menjelaskan, ia membuktikan kerajaan mengambil berat dalam membantu membangunkan negeri ini terutama kawasan pinggir bandar menerusi pelbagai pendekatan.

    Agensi yang terlibat dengan projek tersebut termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).-Sarawakiana

  • No Comment to " 141 Projek RTP Di Pantai Damai Sejak 2015 "