KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia bukan kuda tunggangan dan tidak akan tunduk kepada mana-mana negara dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam. 

Perdana Menteri turut menyifatkan kenyataan dikeluarkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai sesuatu yang tidak wajar dan dianggap biadab dari segi diplomatik. 

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan akan berdiri teguh dengan prinsipnya serta tidak akan tunduk dengan tekanan daripada pihak luar. 

"Tiada sebab untuk Malaysia melakukan sesuatu yang boleh membuatkan imej Korea Utara terjejas. 

Kami akan lebih objektif dan berharap mereka (Kerajaan Korea Utara) memahami bahawa Malaysia melaksanakan (siasatan) mengikut peraturan undang-undang," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program temu duga terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat zon tengah 2017 dan pelancaran buku dan sistem SL1M di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi. 

Najib mengulas kes kematian Jong-nam yang dikatakan mati akibat diracun dua wanita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), pada Isnin minggu lalu. 

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan Korea Utara sepatutnya membantu Malaysia dalam siasatan Jong-nam dan bukannya membuat tuduhan tidak berasas.


KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu syarikat senaraian awam mengambil bahagian dalam program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) atau mereka mungkin berdepan kesukaran mendapatkan kontrak besar daripada kerajaan.

Perdana menteri berkata penyertaan syarikat-syarikat tersebut dalam program itu akan dijadikan prasyarat yang akan menentukan kelayakan untuk mendapat kontrak kerajaan pada masa akan datang.

"Saya hendak syarikat swasta terutama sekali syarikat senaraian awam supaya mengambil bahagian dalam program SL1M ini dan saya akan arahkan Perbendaharaan untuk jadikan ia sebagai prasyarat untuk dapat kontrak besar kerajaan.

"Jadi, kalau mereka tidak mengambil bahagian, peluang mereka untuk mendapat kontrak kerajaan nanti akan slim (tipis) juga," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat Zon Tengah 2017 serta majlis pelancaran buku dan sistem SL1M di sini hari ini.

Katanya, penyertaan syarikat-syarikat senaraian awam itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada graduan yang ketika ini kebanyakannya ditawarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana menteri berkata, langkah itu juga adalah satu daripada kaedah untuk syarikat-syarikat tersebut menyumbang kembali kepada masyarakat setelah mendapat kontrak kerajaan.

Katanya, walaupun ada antara syarikat-syarikat terbabit yang menjalankan program tanggungjawab sosial masing-masing, namun beliau mahu penglibatan yang lebih spesifik menerusi program itu.

Najib berkata, program itu yang diperkenalkan sejak 2011 adalah sangat bermakna dan membawa kesan yang cukup besar kepada graduan yang sedang mencari pekerjaan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Katanya, menerusi program itu graduan bukan hanya didedahkan dengan pengalaman dan pengetahuan alam pekerjaan, malah berupaya meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri serta membina hubungan dengan pegawai peringkat atasan.

Jelasnya, sejak dilancarkan pada 2011 sehingga tahun lalu, seramai 99,000 graduan yang mengikuti program itu telah berjaya mendapat pekerjaan.

"Jadi, program SL1M ini menggambarkan bahawa kita amat prihatin terhadap golongan muda yang memerlukan sedikit pertolongan dan peluang latihan supaya mereka mendapat masa depan yang diharapkan," kata Najib.

Program temu duga terbuka SL1M peringkat zon tengah itu yang bermula hari ini hingga esok menawarkan lebih 25,000 jawatan kosong dan peluang latihan daripada 100 buah syarikat.

Berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, ia menjangkakan kehadiran lebih 40,000 pengunjung yang boleh membuat permohonan kerja serta latihan dan ditemu duga secara langsung oleh syarikat. - BERNAMA
Pelajar Praktikal Ditemui Mati Dibunuh Di Ladang

JOHOR BAHRU – Seorang pelajar lelaki yang sedang menjalani latihan amali di Ladang Teluk Sengat, Kota Tinggi, ditemui mati dengan kesan tikaman di ladang terbabit, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Rahmat Othman berkata mayat Muhammad Azim Nazri Samsuddin, 21, ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah, kira-kira pukul 6 petang oleh beberapa pekerja ladang sawit terbabit.

“Beberapa pekerja ladang mencari Muhammad Azim Nazri di sekitar ladang kira-kira pukul 4.50 petang semalam selepas didapati tidak pulang dari meronda ladang sawit itu.

“Sebelum itu, Muhammad Azim Nazri ada meminjam sebuah motosikal milik seorang pekerja ladang kira-kira 11 pagi untuk melakukan rondaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Rahmat berkata hasil siasatan mendapati lokasi kejadian adalah laluan jalan ladang menuju ke Pekan Teluk Sengat dan jarak lokasi mayat Muhammad Azim Nazri ditemui adalah kira-kira 300 meter dari jalan ke Pekan Teluk Sengat.

Beliau berkata mayat Muhammad Azim Nazri ditemui dalam keadaan terbaring berpakaian kemeja T berkolar biru dan ada tulisan bersulam dengan nama ‘Nazri’ selain berseluar jean biru dan berkasut getah warna hitam.

Katanya polis tidak menemui dokumen peribadi pada mayatnya dan pemeriksaan pada belakang badannya menemui satu kesan tikaman selebar tiga sentimeter.

“Polis turut menemui sebilah pisau berhampiran mangsa dan motosikal milik rakannya yang digunakan untuk ke tempat kejadian,” katanya.

Menurut Rahmat, polis sudah menghubungi keluarga Muhammad Azim Nazri yang tinggal di Rawang, Selangor dan sedang menyiasat motif kejadian.

Beliau berkata, Muhammad Azim Nazri yang mengambil jurusan perladangan di sebuah universiti tempatan di Jasin, Melaka menjalani latihan amali selama tiga bulan di ladang tersebut yang dijangka tamat pada 6 Mac depan.

Mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA
Hati-Hati, Lelaki Cina Akui Dua Tahun Berniqab

LELAKI Cina berniqab seolah-olah wanita muslim? Ini sesuatu yang pelik tetapi ianya benar-benar terjadi seperti yang dikongsikan seorang wanita di laman Facebooknya.

Menerusi perkongsian Fathiah Hamdan, dia mendakwa mengenali seseorang melalui laman sosial dan menganggap kenalannya itu adalah seorang wanita berdasarkan gambar yang dikongsikan.

Dengan berniqab dan memakai jubah berwarna hitam, Fathiah menyangka kenalannya itu adalah seorang wanita namun terkejut apabila lelaki Cina itu memperkenalkan dirinya.

“Semalam saya ada friend dengan satu akaun FB yang berniqab. First chat saya macam tak percaya dia boy (lelaki). Then tanya punya tanya, itulah jawapan dia,” tulisnya.

Menerusi perbualan berkenaan, lelaki tersebut mengakui sudah dua tahun iaitu sejak 2015 memakai niqab dan sering mengenakan niqab dan jubah ketika keluar.

Netizen menganggap tindakan lelaki itu mengenakan niqab adalah untuk mengelirukan orang ramai dan cuba mengambil kesempatan ke atas wanita di luar sana.

Lebih mengejutkan bukan sahaja lelaki Cina itu yang mengenakan niqab, malah ada beberapa lagi rakan lelaki yang mempunyai hobi yang sama sepertinya tampil mengenakan niqab untuk mengelirukan orang ramai.

“Memang menghina Islam, umpama mempermainkan hukum Allah jugak menyamakan pakaian lelaki dengan perempuan yang dibuat dengan buat untuk suka-suka oleh bukan Islam pulak tu. Takut nanti hukum Islam jadi bahan lawak ja,” tulis Ana Humairah.

Amalan wanita beragama Islam memakai niqab memang satu sunnah yang di amalkan oleh isteri Rasullulah SAW, malah, ramai juga wanita yang mengamalkan memakai niqab.

Bagi siapa yang memakai niqab untuk niat yang betul adalah digalakkan tetapi adalah sesuatu yang menyedihkan apabila ada pihak yang cuba menyalahgunakan niqab untuk tujuan yang tidak baik dengan mengelirukan orang ramai. – MYNEWSHUB.CC
Image may contain: 5 people

SERIAN: Empat lelaki berjaya ditangkap sepasukan polis dari Ibupejabat Daerah Serian, awal pagi tadi.

Polis terpaksa mengejar kenderaan yang dinaiki kesemua suspek bermula dari Jalan Tebekang Melayu sehingga ke Pusat Pemeriksaan Imigresen (CIQ) Tebedu.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superitendan Aswandy Anis dalam sidang medianya sebentar tadi memberitahu pemandu kenderaan pada mulanya berdegil dan enggan memberhentikan kenderaan apabila diminta berbuat demikian oleh anggota polis.

Menurutnya, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.

DSP Aswandy menjelaskan hasil pemeriksaan awal polis ke atas kenderaan terbabit, menemui senjata api tiruan (airsoft) iaitu tiga unit pistol Bush Master tiruan pelbagai warna, satu unit senjata rifell tiruan dan empat paket dadah jenis syabu.

Kesemua suspek yang berusia antara 19 sehingga 30 tahun positif dadah Methamphine ketika saringan awal air kencing dilakukan ke atas mereka.

Dua daripada mereka berasal dari Kampung Tarat Sibala, seorang dari Kampung Tarat Melawi, Serian dan seorang lagi dari Batu Kawah, Kuching. Salah seorang suspek merupakan anak kepada seorang penjawat awam.

Kenderaan yang digunakan suspek didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Batu 3 1/2, Jalan Matang, Kuching. - DL

Semalam keluar cerita di dalam sebuah blog di mana kononnya seorang setiausaha politik menteri kanan dari Sarawak yang dikatakan telah mengumpul berjuta-juta ringgit dalam masa yang singkat sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penulis blog tersebut juga mendakwa pejabat Menteri tersebut di Putrajaya minggu lepas kononnya telah diserbu SPRM.

Biarpun tidak menyebut nama, penulis blog menggunakan gambar yang sudah dikaburkan namun penulisan tersebut jelas menunjukkan ia menjurus kepada Setiausaha Politik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar iaitu Dato Sri Syed Hamzah Al-Yahya.

(Kalau tak percaya cuba google image "wan hamzah unreportednews", keluarlah gambar di bawah ni).


Penulis blog itu juga mendakwa setiausaha politik berkenaan kononnya disiasat kerana beliau meminta rasuah dalam tender dan projek di kementerian itu.

Ironinya, setiausaha politik tersebut ketika saya hubungi petang tadi masih bertugas seperti biasa dipejabatnya di Putrajaya dan agak terkejut dengan berita (palsu yang tersebar di media sosial berkatian dengan dirinya) yang saya sampaikan kepada beliau.


Dato Sri Syed Hamzah juga telah menafikan dengan sekeras-kerasnya apa yang telah didakwa oleh blog tersebut dan juga akan mempertimbangkan akan membuat laporan polis mengenai perkara itu serta mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis blog tersebut kerana telah mengfitnah beliau.

Dari pemahaman saya, mana-mana kakitangan kerajaan (tolak Guan Eng DAP sebab dia ingat kerajaan Pulau Pinang bapa dia yang punya) yang dikaitkan dengan kes rasuah, lagi-lagi kes yang berprofil tinggi, suspek akan digantung kerja serta-merta kerana khuatir akan menggunakan kuasanya untuk menjejaskan penyiasatan.

Jadi sekarang kita dah tahu berita tersebut adalah palsu dan persoalan yang perlu kita tanya kini adalah, mengapakah berita palsu itu dibuat dan disebar di media sosial?

Baru-baru ini, Barisan Nasional Sarawak menerusi Datuk Amar Hajah Jamilah Anu pada PRK Tanjong Datu telah mengalahkan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi, manakala Johnny Aput memperoleh 108 undi dan Rapelson 130 undi.


Pada pandangan saya, penyebaran berita palsu ini ada kaitan dengan kemenangan besar ini diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg bersama-sama pemimpin BN Sarawak dan Pusat yang lain yang turun berkempen.

Namun yang memainkan peranan utama kepada kemenangan tersebut adalah Pengarah Operasi Pilihanraya BN PRK Tanjong Datu Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar iaitu boss Dato Sri Syed Hamzah dimana, kedua-dua mereka telah bertungkus lumus sepanjang tempoh kempen tersebut.

Sememangnya, terdapat pihak yang tidak senang hati dengan kemenangan luar biasa ini dan khuatir ianya menjadi gelombang ikutan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang bakal diadakan bila-bila masa saja lagi dan taktik yang paling berkesan untuk menghalang kemenangan ini adalah dengan mencemarkan mereka-mereka yang telah menjadi tulang belakang kemenangan BN Sarawak. - unreportednews

LABUAN: Majlis Belia Labuan membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook kerana menyiarkan fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menghina masyarakat Islam.

Presidennya, Basran Yunus berkata laporan itu dibuat mereka di Balai Polis Labuan, semalam.

Beliau berkata pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘JAMES HUNT’ turut didakwa membuat kenyataan yang biadap terhadap Perdana Menteri.

“Kami mahu pihak berkaitan mengambil tindakan tegas. Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia perlu menyiasaat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab itu boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni dan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” kata Basran ketika dihubungi. – BERNAMA

SANDAKAN: Seorang pekerja putus kaki kanan dan tangan kanannya hancur selepas diserang buaya di taman buaya, Batu 8, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu dilaporkan kritikal dan kini dirawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkara, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pekerja sambilan di taman berkenaan.

"Mangsa seorang pekerja kontrak bahagian pertunjukan burung dilihat menuju ke bahagian kolam pertunjukan buaya sambil membawa bangkai ayam sebagai makanan reptilia berkenaan.

"Selepas memberi makan, mangsa kemudian menggosok bahagian hidung buaya yang membuatkan haiwan itu berang lalu menyambar mangsa.

“Saksi yang berada di tempat kejadian bertindak menghalau buaya tersebut dan akhirnya mangsa dilepaskan daripada gigitan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa kemudiannya dikejarkan ke HDOK Sandakan manakala siasatan lanjut masih diteruskan berhubung kejadian berkenaan.-myMetro
KUCHING : Parti Reformasi Negeri (STAR) mengakui berjaya menarik pengundi untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu yang lepas.

Presiden STAR Lina Soo berkata, walaupun satu undi kepada STAR, jelas terdapat suara protes terhadap masalah yang berlaku di kawasan.

"Inilah demokrasi yang berlaku di Malaysia, yang bebas memberi kuasa untuk memilih pemimpin kepada rakyat.

"Nampak jelas memang ada pilihan rakyat yang cuba memprotes kemenangan Barisan Nasional (BN) tetapi itulah medium rakyat untuk meluahkan ketidakpuasan hati, yakni mengundi kepada pembangkang seperti kami," katanya kepada Sarawakiana.

Menurut Lina, tidak dinafikan BN terlalu kuat bagi pembangkang tetapi sekurang-kurangnya BN tidak akan menang dengan 100 peratus undi.

"Sekurang-kurangnya pada PRK lepas, Tanjong Datu telah diberi perhatian oleh kerajaan untuk turun melihat sendiri masalah kawasan tersebut.

"Sebabnya ialah adanya pembangkang seperti kami bertanding dan kerajaan akan terus menyelesaikan masalah rakyat kawasan," ujarnya.

Lina mengucap tahniah kepada calon BN atas kemenangan bergaya dan pada masa sama beliau tetap akan memberi saingan kepada BN pada masa akan datang serta tetap berjuang untuk suara rakyat. - Sarawakiana

Polis Wanita Cantik Buat Lelaki Rela Ditangkap

KEJELITAAN seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) wanita ini membuatkan netizen terutamanya lelaki rela ditangkap walaupun tidak melakukan kesalahan.

Wanita yang dikenali sebagai Irene Y LM berusia 26 tahun ini merupakan seorang anggota polis yang bertugas di salah sebuah Balai Polis di Selangor.

Dia yang berasal dari Sibu, Sarawak ini menjadi ‘kegilaan’ netizen selepas memuat naik gambarnya memakai seragam polis di laman Facebook.

Ada yang rela ditangkap dengan syarat yang menahan mereka adalah Irene kerana menganggap wanita tersebut comel dan cantik.

Tidak kurang juga yang memberikan beberapa ayat-ayat berbunga (pick up line) menerusi ruangan komen yang memuji kecantikan anggota polis berkenaan.

Malah, ada juga netizen mahu menjadi anggota polis seperti Irene dan memasang impian mahu bersama wanita tersebut dalam satu pasukan.

Pemerhatian di laman Facebook Irene mendapati setiap gambarnya mendapat perhatian netizen dengan tanda like lebih 5,000. – MYNEWSHUB.CC


SEOUL – Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan senyum ketawa ketika melawat sebuah ladang ikan keli Samchon dekat ibu kota negara komunis itu, Pyongyang baru-baru ini.

Menurut agensi berita rasmi Korea Selatan, Yonhap yang memetik laporan media negara itu, Korean Central News Agency (KCNA) pada Selasa, beliau melakukan lawatan ke situ sejurus abangnya, Kim Jong-nam mati dibunuh.

Dengan wajah senyum lebar, Jong-un, 33, memuji pihak pengurusan ladang tersebut yang mampu membiak lebih 3,000 tan ikan setahun dan gambar-gambar eksklusif itu disiarkan akhbar utama Korea Utara, Rodong Sinmun.


Keceriaan tersebut jauh berbeza dengan penampilan suram ketika beliau menghadiri upacara peringatan kelahiran bapanya, Kim Jong-il pada 16 Februari lalu; yang meninggal dunia pada 17 Disember 2011 dalam usia 69 tahun.

Majlis sambutan secara besar-besaran itu secara kebetulan berlaku tiga hari selepas Jong-nam dibunuh ejen perisik Korea Utara di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang dekat ibu kota Malaysia.

Stesen televisyen milik negara, Chos┼Ćn Chungang T’ellebijyon pada Rabu minggu lalu turut menyiarkan wajah sugul pemimpin itu yang langsung tidak melambaikan tangannya ketika meninggalkan tempat upacara berkenaan.

Namun, berbeza dengan imej ceria terbaharu kali ini sekali gus mencetuskan spekulasi mengaitkan beliau memberi maklum balas positif terhadap kejayaan misi rahsia pembunuhan Jong-nam di Malaysia pada 13 Februari lalu.

Penganalisis politik Korea turut membandingkan wajah gembira Jong-un sebaik pembunuhan bapa saudaranya, Jang Song-thaek yang juga bekas duta Korea Utara ke Malaysia pada 2013 lalu konon khianat kepada negaranya.



Jong-nam, 46, anak lelaki tertua dan sepatutnya mewarisi pemerintahan daripada bapa mereka; meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas diserang dua wanita Asia tenggara dengan bahan beracun.

Polis Diraja Malaysia berjaya mencekup empat suspek termasuk seorang warga Korea Utara, Ri Jong-chol, 46; pada Sabtu lalu yang dianggap sebagai pakar kimia dan lebih setahun menetap di Kuala Lumpur dengan keluarganya.

Manakala empat lagi suspek yang juga rakyat Korea Utara dipercayai sudah berjaya melarikan diri ke negara lain sejurus operasi pembunuhan Jong-nam selesai malahan mereka dikatakan telah pun selamat tiba di Pyongyang.

Kerajaan Korea Selatan yakin kes pembunuhan berprofil tinggi itu didalangi oleh rejim Korea Utara kerana bimbang pengaruh Jong-nam yang baik dengan pihak berkuasa China dapat menggugat pemerintahan Jong-un sendiri.

Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pada Isnin mempertikaikan cara pihak berkuasa Malaysia dalam menangani kes tersebut dan mendesak agar dilakukan penyiasatan secara bersama. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


DUTA Korea Utara di Malaysia, Kang Chol yang semalam membidas pihak berkuasa Malaysia dalam penyiasatan kematian Kim Jong-nam, berkemungkinan akan berdepan hukuman tembak mati di negaranya.

Perkara itu didedahkan bekas duta besar Malaysia ke China, Datuk Dennis Ignatius yang mengatakan hukuman itu mungkin berlaku sekiranya Kang Chol gagal memperlihatkan ketegasan dalam mewakili rejim Pyongyang.

“Sekiranya beliau tidak tampak bersungguh-sungguh dan teliti dalam mempertahankan rejimnya, beliau mungkin menerima nasib sama seperti duta sebelum ini yang ditembak oleh pasukan skuad penembak selepas dipanggil balik dari Kuala Lumpur,” katanya memetik laporan Free Malaysian Today.

Dennis difahamkan mempunyai lebih tiga dekad pengalaman diplomatik, dan mewakili misi Malaysia ke Beijing, China pada 1980-an yang turut bertanggungjawab dalam hubungan dengan Korea Utara.

Kemungkinan ditembak itu wujud berikutan insiden yang pernah berlaku, di mana pada awal 2014, bekas duta Korea Utara ke Malaysia, Jang Yong Chol, dihukum tembak mati oleh rejim Korea Utara.

Yong Chol merupakan anak saudara kepada Jang Song-thaek, bapa saudara diktator Korea Utara, Kim Jong-un. Song-thaek dihukum bunuh bersama-sama seluruh anggota keluarganya termasuk 2 anak lelakinya pada Disember 2013.

Dennis berkata kebimbangan ini menyebabkan Kang Chol terpaksa mengambil pendekatan lebih drastik dengan mengecam Malaysia.

“Susah membayangkan beliau meneruskan jawatannya… Itulah bahaya yang menunggu kakitangan perkhidmatan diplomatik Korea Utara,” tambahnya.

Semalam, Kang Chol yang selama ini enggan bercakap kepada media, membacakan kenyataan akhbar membidas kerajaan Malaysia, sambil berkata pihaknya tidak yakin dengan sebarang penyiasatan terhadap Jong -nam, abang tiri diktator Jong-un, yang dipercayai dibunuh oleh ejen upahan Pyongyang. – MYNEWSHUB.CC

KUALA LUMPUR – Negara asing tidak seharusnya mempertikai kepakaran dan keupayaan pasukan forensik negara dalam menjalankan bedah siasat berhubung kematian Kim Jong-nam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau menegaskan Malaysia mempunyai pasukan forensik yang berkepakaran tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang tersebut, malah pernah memberi kerjasama menyelesaikan pelbagai kes di dalam dan luar negara.

“Kita mempunyai pasukan berpengalaman. Pasukan kita (pernah) berada di Belanda dengan pasukan forensik antarabangsa untuk kes MH17, juga di Indonesia selepas tragedi pesawat Air Asia 8501 untuk membantu mereka…kami tahu apa yang perlu dilakukan dan apakah prosesnya.

“Tiada persoalan mengenai kapasiti pasukan kita untuk mengenal pasti perkara sebenar. Semalam, saya bersama mereka (pasukan forensik), mereka menjelaskan kepada saya, sudah tentu kita perlu mendapatkan profil DNA (Jong-nam), kita juga mendapat cap ibu jari, sudah melakukan struktur gigi dan perkara tertentu pada mayat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian upacara pecah tanah Pusat Gamma Knife di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini hari ini.

Dr. Subramaniam berkata dengan adanya semua bahan bukti penting, proses pengecaman mayat akan menjadi lebih mudah.

“Jika anak lelakinya datang (anak kandung), DNA beliau akan membantu kita dalam proses pengecaman, tetapi jika tiada, kita akan menggunakan elemen lain yang kita ada untuk mengesahkan identiti…proses itu sedang berjalan,” katanya.

Abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un itu meninggal dunia pada 13 Februari lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.

Jong-nam sebelum itu dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun. – BERNAMA


SEOUL – Perbadanan Penyiaran British (BBC) seakan-akan sudah dapat ‘hidu’ awal berita kematian Kim Jong-nam pada 13 Februari, menurut akhbar berpengaruh Korea Selatan, The Korea Times.

Harian berbahasa Inggeris itu melaporkan stesen penyiaran antarabangsa berpusat di London, England tersebut secara kebetulan melancarkan perkhidmatan siaran radio terbaharunya dalam bahasa Korea pada awal bulan ini.

BBC yang memang selama ini ada pejabat Biro Seoul untuk siaran antarabangsa dalam bahasa Inggeris menerusi satu kenyataan media pernah memaklumkan bahawa stesen itu memerlukan ramai wartawan bertugas di lapangan.

Rancangan perluasan siaran di Semenanjung Korea sebenarnya telah diumumkan pihak pentadbiran BBC World Service awal November pada tahun lalu bahkan sasaran liputan memang sengaja difokuskan kepada Korea Utara.

“Petugas BBC di Seoul perlu bersedia melaporkan sebarang peristiwa yang berlaku di Semenanjung Korea terutama sekali Korea Utara, selain apa sahaja berita mengenai masyarakat Korea di negara-negara jiran dan seluruh dunia.

“Pemohon yang berminat juga mesti memiliki pengalaman pernah bertugas dalam mana-mana agensi penyiaran sama ada Korea Utara atau Selatan khususnya melibatkan liputan hal ehwal semasa,” jelas kenyataan BBC tersebut.

Tindakan BBC agak janggal seolah-olah dapat mengesan akan berlaku satu insiden besar melibatkan Korea Utara apatah lagi stesen tertua di dunia itu dibiayai sepenuhnya pejabat Hal Ehwal Luar Britain menerusi piagam diraja.

Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas diserang oleh dua wanita Asia tenggara semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dalam penerbangan ke Macau, China.

Perkhidmatan khas BBC dalam bahasa Korea dipancarkan menerusi gelombang pendek untuk mudah menembusi ruang udara Korea Utara yang memang disekat oleh pihak tentera rejim Pyongyang daripada liputan siaran asing.

Agensi berita rasmi Korea Selatan, Yonhap melaporkan bahawa rakyat Korea Utara dapat mengikuti siaran radio tersebut yang dipancarkan terus sama ada daripada stesen wilayah BBC berpusat di Thailand, Singapura atau Oman.

Program dalam bahasa Korea merupakan antara siaran 11 bahasa yang diwujudkan oleh BBC selain Telegu, Punjabi dan Nigeria, bermula sepanjang tahun ini dengan nilai pelaburan 289 juta pound sterling (kira-kira RM1.6 bilion).

Siaran BBC World Service yang mula beroperasi sejak 1932 kini dapat didengar menerusi 27 bahasa asing antaranya Arab, Burma, Indonesia, Nepal, Parsi, Perancis Afrika, Portugis Brazil, Rusia, Somalia, Tamil, Turki dan Vietnam.

Perkhidmatan antarabangsa radio BBC itu turut dipancarkan 24 jam setiap hari sama ada melalui gelombang AM, FM dan DAB yang meliputi sejumlah 320 juta pendengar di seluruh dunia terutama sekali di benua Afrika dan Asia.

Rakyat Korea Utara diharamkan mendengar siaran radio dan televisyen asing terutama dari jirannya, Korea Selatan kerana bimbang terpengaruh dengan propaganda pihak luar yang berkepentingan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

PASIR GUDANG: Sepasang suami isteri berusia 41 tahun yang memiliki 73.6 kilogram ganja bernilai RM180,000 di kediaman sewa mereka di sebuah kawasan perumahan di Pasir Gudang ditahan kelmarin bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Jokhiri Abd Aziz berkata, bekalan ganja itu dipercayai bagi menampung bekalan seramai 36,831 penagih.

Beliau berkata, bekalan itu dipercayai bagi diedarkan di kawasan Seri Alam, Kota Tinggi dan Johor Bahru dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, pasangan berkenaan terperangkap apabila kediaman sewa mereka diserbu pada jam 11 malam.

"Sebanyak 72 ketulan ganja ditemui di dalam plastik hitam di lantai bilik tidur pasangan berkenaan.

"Dipercayai mereka menjalankan kegiatan itu selama dua tahun.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pasangan itu ditahan reman selama tujuh hari mulai 20 hingga 27 Februari," katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sin, hari ini.-myMetro

SIBU: Mayat lelaki yang hilang sejak Ahad lepas ditemui anggota operasi dan menyelamat (SAR) pagi tadi.

Mangsa, Atong Kassin, 48 ditemui dalam keadaan mayatnya tinggal separuh badan dipercayai dibaham buaya di Sungai Selayar, Batang Paloh di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jam 11.55 pagi tadi.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. -Sarawakiana

LUNDU: Azizul Anuar Adenan yang merupakan anak kepada Datuk Amar Jamilah Anu terus bersemangat berjumpa jentera parti dan pengundi di Tanjong Datu selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu.

Kehadiran Azizul yang mewakili ibu beliau adalah sebagai tanda penghargaan selepas jentera parti dan pengundi memberi sokongan padu.

Menurut Azizul, ibu beliau berterima kasih dan menghargai sokongan padu yang diberikan dalam memastikan BN menang dengan majoriti lebih besar.


"Ibu berterima kasih kepada pucuk kepimpinan BN kerana memberi kepercayaan kepada beliau (Jamilah) untuk meneruskan perjuangan ayah (Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) di Tanjong Datu.

"Azam ibu adalah untuk meneruskan obor perjuangan BN dan membawa lebih banyak pembangunan di Tanjong Datu selain terus berkhidmat untuk rakyat," kata Azizul ketika mengadakan kunjungan mesra di Pekan Lundu hari ini.


PRK N.3 Tanjong Datu menyaksikan Jamilah menang bergaya dengan majoriti 6,443 selepas Johnny Aput dari STAR serta Rapelson Richard Hamit (PBDSB) masing-masing hanya mampu meraih 108 undi dan 130 undi.-Sarawakiana


Foto Pulapol Langkawi
LANGKAWI: Seramai 299 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan Siri 1/2016 menamatkan latihan mereka di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu 96 orang adalah pelatih wanita.

Terdahulu, mereka yang mengikuti latihan asas selama empat bulan mulai 23 Oktober lalu, diraikan pada majlis perbarisan tamat latihan PLAK yang disempurnakan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff.

Pada majlis itu, Konstabel Sa'adun Jaafar, 29, diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, sementara Konstabel Siti Nurul Afifah Nazlan, 24, pula muncul sebagai Pelatih Terbaik Akademik dan Konstabel Nurull Husnina Norli, 21, sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Kompetensi) Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Komandan PULAPOL Langkawi Asisten Komisioner Polis K S Baljeet Singh.-HM


BEIJING: Dia hanya bekerja sebagai pengutip sampah di jalanan, tetapi lelaki dari Shenyang, China ini dipandang tinggi kerana menunjukkan sifat mulia membantu orang lain.

Lelaki tersebut, Zhao Yongjiu baru-baru ini menjadi sebutan dalam laman media apabila kisahnya membiayai kos pembelajaran 37 pelajar miskin dengan menggunakan hampir semua duit gajinya, mendapat pujian meluas.

Setiap hari, pengutip sampah ini akan keluar dari rumahnya seawal pukul 4.30 pagi dan pulang ke rumah pukul 9 malam.

Dia hanya memperoleh pendapatan sebanyak 2,400 (RM1,500) sebulan dan jumlah itu diikutkan hanya cukup menampung kehidupannya seharian.

Namun bagi Yongjiu, gaji kecil bukan alasan buat dirinya untuk berbakti kepada kanak-kanak miskin apabila menggunakan baki duit perbelanjaannya bagi memastikan golongan kecil itu mendapat pendidikan.

Lelaki berusia 56 tahun itu sudah berbuat demikian sejak 30 tahun lalu dan mendermakan wang sebanyak 170,000 yuan (RM110,214) untuk menampung kos pembelajaran 37 kanak-kanak miskin.

Malah pada satu ketika, Yongjiu menjual rumah miliknya dan menyewa pangsapuri satu bilik dengan kos 600 (RM388) sebulan dan menggunakan mendermakan baki gajinya.

Kisah mulia Yongjiu itu disiarkan dalam akhbar harian Beijing Youth Daily dan dia mendedahkan, tindakannya itu dibuat berdasarkan pengalaman hidup sendiri.

Pada tahun 1976, Yongjiu kematian ayahnya, menyebabkan dia dan ibunya hidup susah selama beberapa tahun.

Namun mereka berjaya menempuh kesukaran tersebut menerusi bantuan jiran yang sering memberikan makanan.

Terkesan dengan kebaikan jirannya itu, Yongjiu nekad mahu membantu orang lain yang dalam kesusahan sepanjang hidupnya. - Mstar

SULAWESI UTARA, INDONESIA: Seorang pemuda berusia 28 tahun di Minahasa Selatan di sini, menarik perhatian apabila berkahwin dengan wanita berusia 82 tahun, Sabtu lalu, selepas setahun saling kenal mengenali.

Kisah pemuda itu kini heboh di media sosial Indonesia selepas selepas gambarnya berkahwin Martha Potu tersebar di Internet.

Sofian yang bekerja di sebuah bengkel berkata, dia berkenalan dengan Martha kira-kira setahun lalu selepas wanita itu tersilap mendail nombor telefonnya.

Menurut Kompas ketika ditemui semalam, Sofian berkata: “Setahun lalu saya menerima panggilan telefon daripada pemanggil tidak dikenali, saya menjawab dan kami berkenalan. Sejak hari itu kami sering berhubung tanpa mengetahui umurnya.

“Saya belum pernah bercinta sebelum ini, dan saya berasa jatuh cinta," kata Sofian.

Tidak tahan dengan perasaan cintanya, Sofian nekad mengunjungi Martha di Lelama, yang jaraknya amat jauh. Saat bersua muka kali pertama dengan Martha, Sofian terkejut.

"Saya tidak sangka Martha sudah setua ini. Namun, kami berasa benar-benar jatuh cinta, dan sepakat melanjutkan hubungan ini," kata Sofian.

Selepas beberapa bulan, mereka bercadang berkahwin yang menerima bantahan banyak pihak, terutama keluarga Martha, namun mereka bertekad untuk berkahwin.

Sofian memberitahu ibu bapanya di Pulau Mantahage serta mengajak mereka menemui Martha dan melamarnya tanpa memberitahu usia calon bakal isterinya itu.

“Kami tidak tahu calon isterinya seorang nenek. Kami sangat terkejut namun apa lagi mahu dikata.

“Kami lihat mereka saling menyayangi, lalu bersetuju dengan pilihannya. Jodoh itu urusan Tuhan," kata ibunya, Magdalena, 60.

Suami Martha meninggal dunia 10 tahun lalu dan tinggal seorang diri manakala dua anaknya anaknya berada di Jerman dan Arab Saudi.

"Saya berdoa kepada Tuhan jika masih diizinkan dan diberi kesempatan, saya meminta ada suami yang boleh mengurus saya pada usia tua ini.

“Tak sangka Tuhan mengutus Sofian," kata Martha.

- Harian Metro

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menggunakan sepenuhnya saluran komunikasi termasuk media sosial, papan iklan, poster, risalah serta papan iklan elektronik bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap bahaya merokok.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata langkah tersebut sempena kempen antimerokok yang sedang dijalankan termasuk mewujudkan lebih banyak kawasan tanpa rokok di kawasan awam.

"Kami akan bekerjasama dengan jabatan kesihatan dan agensi berkaitan dalam menguatkuasakan perintah larangan merokok di kawasan yang telah diwartakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas melawat Taman Budaya di sini yang telah diisytiharkan sebagai zon bebas asap rokok.

Menurutnya, mulai 1 Jan lepas, semua premis perniagaan di bawah DBKU diisytiharkan sebagai zon bebas asap rokok.

Di bawah pelan lima tahun 'Kuching: Bandar Raya Bersih, Indah dan Selamat', katanya, pihaknya turut mengadakan kempen di sekolah-sekolah dalam usaha melahirkan generasi baharu yang bebas tembakau.- BERNAMA

MIRI: Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan polis kerana cuba melarikan telefon telefon bimbit iPhone 7 Plus dari sebuah premis di pusat beli-belah Permaisuri Imperial Mall, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Supritanden Khoo Leng Huat, berkata suspek berpura-pura membayar telefon bimbit menggunakan kad ATM Public Bank, namun apabila diserahkan telefon bimbit berkenaan dia terus melarikan diri.

"Suspek diberkas pengawal keselamatan di premis itu yang kemudian diserahkan kepada polis. Turut dirampas ialah telefon bimbit yang dilarikan dan kad bank," katanya hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.-BH


NEW YORK: Hampir 1.4 juta kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan serius berisiko meninggal dunia akibat kebuluran di Nigeria, Somalia, Sudan Selatan dan Yaman.

Di Yaman, yang menyaksikan perang berlanjutan hampir dua tahun, 462,000 kanak-kanak berhadapan kekurangan zat teruk manakala 450,000 lagi mengalami masalah sama di timur laut Nigeria.

Sistem amaran awal kebuluran, Fews Net, berkata beberapa kawasan terpencil di negeri Borno di Nigeria sudah pun terjejas akibat kebuluran sejak lewat tahun lalu dan bencana itu berkemungkinan berterusan kerana agensi bantuan tidak dapat sampai kepada mereka yang memerlukan.

Kemarau di Somalia menyebabkan 185,000 kanak-kanak di ambang kebuluran tetapi angka itu dijangka mencecah 270,000 dalam masa beberapa bulan lagi, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF.

Di Sudan Selatan, lebih 270,000 kanak-kanak tidak cukup zat dan kebuluran sudah diisytiharkan di beberapa bahagian di Unity State di utara negara yang mempunyai 200,000 kanak-kanak.

Pengarah UNICEF, Anthony Lake, merayu tindakan segera.

"Kita masih boleh menyelamatkan banyak nyawa," katanya.

Duta Majlis Keselamatan PBB dijangka mengunjungi utara Nigeria, Cameroon, Chad dan Niger bulan depan untuk menarik perhatian dunia kepada krisis kemanusiaan dicetuskan konflik dengan militan Boko Haram. - AFP

ABUJA: Pelajar berusia 16 tahun, Dolapo Makunjuola, dinobatkan sebagai pemenang ratu cantik diadakan di negeri Lagos, yang cuma menerima peserta dara dan berusia 16 tahun ke atas.

Pada pertandingan sama, Adeyeye Marian, 22, menjadi pemenang kedua manakala seorang lagi pelajar, Oladeji Boluwatife, pemenang ketiga.

Makunjuola berterima kasih kepada penganjur pertandingan, berkata beliau gembira diiktiraf menerusi inisiatif itu.

"Saya amat gembira memenangi pertandingan ini. Saya berterima kasih kepada semua di sini dan penganjur terutama Puteri Adediran Adunni, yang menjadi pendorong kepada kejayaan kami hari ini.

"Pertandingan ini dianjurkan badan bukan kerajaan dengan tumpuan kepada menjaga dan meraikan anak dara di Nigeria," katanya.

Pengasas dan penyelaras pertandingan berkata, jika mereka mendapat penaja dengan kerjasama penduduk awam, ibu bapa, kerajaan, gereja dan badan antarabangsa, pertandingan itu akan lebih menarik.

Adediran berkata, dengan sokongan dan kesedaran seperti itu, kaum ibu akan lebih serius dalam memastikan anak gadis mereka kekal dara.

Bercakap lebih lanjut, Adideran menasihatkan rakyat Nigeria yang berada supaya tampil dan menyokong inisiatif itu.

Beliau juga menasihatkan wanita muda supaya memastikan mereka kekal dara hingga berkahwin. - TIMES OF INDIA


LONDON: Seorang wanita Britain mendakwa dia kehilangan kerja di sebuah syarikat perfileman di sini gara-gara terlalu cantik.

Wanita itu, Emma Hulse berkata kepada portal Mirror, dia diambil bekerja sebagai penghantar barangan di syarikat UNIT TV di Soho tetapi diberhentikan serta-merta selepas hanya beberapa bulan bertugas tugas.

Menurut wanita berusia 24 tahun itu, pengurusnya mempersoalkan kenapa dia tidak menjadi seorang model atau penyambut tetamu.

"Saya amat kecewa kerana diberhentikan kerja. Saya tidak tahu apa yang patut dilakukan.

"Mungkin syarikat itu hanya mahu mengambil pekerja yang bermuka biasa berbanding saya yang terlalu menarik perhatian," katanya.

Ujar Emma lagi, dia berpakaian sopan ketika datang bekerja dan tidak timbul isu dia terlalu seksi.

Malah dakwanya, pengurusnya itu turut meminta nombor telefonnya dan cuba mengajaknya keluar.

Sementara itu, pemilik syarikat berkenaan, Adam Luckwell berkata, kes yang berlaku ke atas Emma merupakan satu diskriminasi dan dipandang serius.

"Individu terbabit yang mendakwa dipecat beberapa minggu lalu selepas tempoh pemantauan, telah berkhidmat bersama syarikat ini kurang daripada tempoh tiga bulan.

"Saya tidak dimaklumkan dengan jelas situasi yang berlaku ke atas Emma Hulse dan tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu.

"Saya memohon maaf kepadanya jika dia berasa kurang senang dengan sikap staf syarikat ini," katanya. - Mstar

KUNAK - Polis Kunak berjaya merampas 10,140 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM90,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kadazan di sini awal pagi tadi.

Serbuan yang dijalankan pada pukul 2.45 pagi itu turut memberkas dua lelaki termasuk seorang warga Filipina dan merampas dua buah kenderaan jenis Proton Waja dan Perodua Alza yang dijadikan 'port' menyimpan rokok seludup tersebut.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, berpandukan maklumat risikan pihaknya telah menjalankan serbuan di rumah berkenaan dan berjaya menahan kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 67 tahun.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit kami menemui beberapa bungkusan yang mengandungi pelbagai jenama rokok dipercayai tidak mempunyai kelulusan cukai kastam.

"Sejumlah bungkusan itu berisi 10,140 karton rokok yang di dalamnya terdapat rokok jenama Surya (4,940 bungkus), Premium (4,600 bungkus) dan L.A (600 bungkus) yang kesemuanya belum dikenakan cukai," katanya sebentar tadi.

Tambahnya, kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (c) Akta Kastam 1967. - K! ONLINE




PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ke-128 di bangunan Perdana Putra di sini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Mesyuarat yang bermula 10 pagi dan dijadual berlangsung kira-kira dua jam itu bertujuan menyelaras semua perkara di bawah bidang kuasa negeri dan persekutuan bagi memastikan rakyat sentiasa diberi keutamaan serta isu-isu berbangkit.

Mesyuarat kali ini menyaksikan kehadiran muka baharu Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang dilantik pada 13 Jan lalu menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Jan.

Najib, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja Abang Johari memasuki bilik mesyuarat perdana.
- BERNAMA


BEIJING: Penduduk sebuah kampung di China digemparkan dengan penemuan seorang kanak-kanak perempuan yang diikat pada pokok buluh dan ditinggalkan bersendirian berdekatan sebuah kubur.

Menurut laporan MailOnline, kejadian itu berlaku di Kampung Lifu dekat daerah Qu, wilayah Sichuan pada 28 Januari lalu apabila penduduk kampung mendengar tangisan seorang budak dari kawasan kubur.

Malah ketika ditemukan, muka kanak-kanak itu sudah menjadi ungu ekoran ditinggalkan dalam kesejukan.

28 Januari lalu merupakan Tahun Baharu Cina dan penduduk kampung terkejut melihat budak itu menghabiskan masa bersendirian di kubur pada hari perayaan tersebut.

Sekeping nota turut ditinggalkan bersama kanak-kanak itu yang tertulis namanya sebagai Dian Dian dan dia merupakan anak perempuan kepada wanita yang hanya dikenali sebagai Wang.

Penduduk kampung percaya bahawa Dian Dian ditinggalkan oleh bapanya pada tengah malam hari kejadian.

Pihak polis yang menjalankan siasatan kes itu berkata, bapa kanak-kanak tersebut yang bernama Luo, tinggal di Pekan Qubei manakala ibu mangsa tinggal di Pekan Lifu.

Siasatan turut mengesahkan kanak-kanak tersebut ditinggalkan bersebelahan kubur neneknya.

Ibu mangsa, Wang yang dipanggil untuk membantu siasatan mendedahkan, dia dan suaminya telah bercerai dan kini tinggal bersama anak perempuan sulung manakala Dian Dian tinggal bersama Luo.

Wang mendakwa, suaminya berbuat demikian kerana mahu menarik perhatiannya dan mengahwininya semula, tetapi dia enggan bersetuju.

Difahamkan, bapa Dian Dian merupakan seorang penganggur dan kini masih diburu pihak polis untuk membantu siasatan.-mStar


Kerajaan menyedari komunikasi tanpa lisan terutama melalui media sosial paling berkesan pada zaman kini dalam mempengaruhi pemikiran golongan muda.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, media sosial turut digunakan pengganas untuk menyebarkan dakyah dan merekrut ahli.

“Kita tahu bahawa golongan ini merekrut ekstremis melalui komunikasi tanpa lisan iaitu media sosial. Seramai 157 rakyat Malaysia berada di negara bergolak terutama Iraq manakala 37 orang sudah gugur.

“Begitulah situasinya, media sosial dijadikan tempat mencari dan mengeksport pengganas,” katanya pada Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) Perspektif Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, malam tadi.

Majlis dialog itu adalah kesinambungan kepada TN50 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Universiti Malaya, 19 Januari lalu.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa meletakkan komitmen tinggi dalam aspek keselamatan negara dan mengekang kewujudan pengganas atau militan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di suatu garis yang lebih berbanding kemampuan pengganas melakukan kerosakan.

“Sebanyak 87.5 peratus rakyat Malaysia yang menyertai pengganas berjaya dipulihkan. Kejayaan itu meletakkan negara kita di hadapan dalam usaha berkenaan,” katanya. - HM


Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu menyaksikan calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) lebih menyerlah berbanding calon Pari Reformasi Sarawak (STAR).

Calon PBDSB Rapelson Richard Hamit memperolehi 130 undi berbanding calon STAR yang hanya memperolehi 108 undi. Walaupun kehilangan wang deposit, Rapelson lebih menyerlah kerana konsisten membawa isu yang lebih konkrit berunsur tempatan.

Bukan mudah untuk meyakini seorang pengundi jika kempen dilakukan dalam tahap minimum atas faktor kekurangan kewangan. Malah Rapelson tidak menggunakan sepenuhnya peluang berkempen secara lapangan.

Rapelson lebih menjurus kepada kempen mengguna aplikasi Whatsapp dan ia terbukti berkesan dengan menewaskan calon STAR. Sidang media pun Rapelson jarang sekali guna kerana beliau lebih gemar menyebar kempen dalam laman Facebook dan aplikasi lain.

Ternyata Rapelson bijak menggunakan peluang serta mempunyai pendidikan yang tinggi mampu menyerlah kekuatan yang ada pada diri beliau. Atas faktor pendidikan juga beliau mampu memberi kenyataan yang lebih berilmiah dalam Facebook dan Whatsapp serta mampu menarik 130 undi di Tanjong Datu..-Sarawakiana

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu menerusi isteri bekas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Jamilah Anu sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan N.3 Tanjong Datu membuktikan Sarawak akan terus menjadi kubu kekuatan utama kepada BN.

Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi selepas memperoleh 6,573 undi daripada pencabarnya Johny Aput dari Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dan Repelson Richard Hamit dari Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) sekaligus menyebabkan mereka hilang deposit selepas masing-masing hanya memperoleh 130 undi dan 108 undi.

Memetik laporan antarabangsa Bloomberg berkata, ini adalah berita baik untuk pemimpin parti kerajaan BN Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mempertimbangkan tarikh sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan datang.

Dengan itu juga, kini Najib boleh pastikan bahawa Sarawak akan terus menyumbang banyak kerusi dalam pilihan raya di peringkat parlimen.

Lapor Bloomberg, kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu turut memperlihatkan kegagalan pakatan pembangkang mempengaruhi rakyat negeri itu dengan isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang terkait dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

Pakatan pembangkang dilihat berusaha keras mengambil peluang di atas permasalahan 1MDB tanpa menyedari persepsi pengundi di Sarawak.

Ini turut membuktikan pengundi di Sarawak tidak menghiraukan isu yang dimainkan pembangkang sewaktu pilihan raya negeri tahun lepas sekaligus memberikan kemenangan besar di dewan undangan negeri.

Malah sokongan yang besar kepada BN pada waktu itu juga mendapat ransangan daripada Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mengetuai jentera BN dalam usaha memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati rakyat Sarawak, termasuk autonomi yang lebih besar bagi negeri itu.

Menurut laporan itu lagi, walaupun ketika itu mereka (pembangkang) bersatu untuk menumbangkan BN, DAP dan PKR bertindak kurang bijak dengan bertanding sesama sendiri di beberapa kerusi justeru menyumbang kepada kekalahan mereka.

Bloomberg memetik analisis Ibrahim Suffian dari Merdeka Center melaporkan, ketiadaan ketua pembangkang yang berwibawa juga merupakan salah satu faktor yang menguatkan sokongan terhadap BN - Sarawakiana

KUCHING: Kemenangan dengan jumlah majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N3 Tanjong Datu minggu lepas memberi suntikan semangat baru buat jentera parti bagi menghadapi PRU 14 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa, tidak lama lagi.

“Kita yakin kejayaan Barisan Nasional (BN) Sarawak mengekalkan kerusi Tanjong Datu akan diteruskan pada PRU14 dan untuk membolehkan kita mempertahankan semua kerusi milik BN serta mengekalkan Sarawak sebagai kubu kuat BN pusat,” kata Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

”Momentum kemenangan ini mempamerkan bukti jelas sokongan rakyat terhadap dasar kerajaan negeri, tidak mustahil rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada BN pada PRU14 nanti,” tambah beliau.

Menurutnya, BN sudah bersedia menghadapi PRU14 kerana kita tidak seperti pembangkang yang hanya muncul pada musim pilihan raya, sebaliknya kita sentiasa berada di kawasan memberi perkhidmatan.

”Kemenangan di Tanjong Datu memberi mesej yang cukup jelas bahawa rakyat Sarawak masih mahukan BN sebagai kerajaan memerintah.

”Kemenangan itu menyuntik semangat dan azam kepada Ahli-ahli Parlimen Sarawak bagi menghadapi PRU14 nanti,” ujarnya.

Dengan majoriti berjumlah 6.443 undi, kekuatan calon yang dipilih tidak lagi dapat dipertikai.

Calon pilihan BN adalah tepat. BN faham dan tahu kehendak sebenar rakyat. - Sarawakiana

Kredit gambar: Borneo Post

Anda ingin mempelajari seni kentut? Jika ya, anda boleh mendaftar di sebuah kelas di Colwyn Bay di United Kingdom (UK).

Tentu mengejutkan kerana seumur hidup kita tidak pernah mendengar kelas sedemikian rupa. Rupa-rupanya, ia bukan kelas kentut sebaliknya kelas seni yang tersalah ejaan.

Iklan itu dipamerkan di dalam iklan di sebuah surat khabar iaitu North Wales Weekly News. Ejaan sebenar sepatutnya ‘Art Classes’ tetapi telah ditukar kepada ‘Fart Classes’’.

Malangnya kesilapan berkenaan telah tersebar secara meluas media sosial.

Disebabkan insiden memalukan itu, North Wales Weekly News telah mengakui akan kesilapan berkenaan.

Sementara bagi pihak yang mengiklankan kelas seni itu, tidak diketahui sama ada terdapat individu yang mahu mendaftar untuk kelas tersebut. – Mynewshub.cc

SIBU: Polis menahan seorang pemuda bagi membantu siasatan kes rogol terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di tempat kerjanya tengah hari semalam.

Terdahulu, seorang suri rumah berusia 33 tahun tampil membuat laporan polis selepas anak perempuannya menceritakan ketelanjurannya dengan suspek.

Mangsa mendakwa telah berkenalan dengan suspek sejak Disember tahun lalu.

Sepanjang perkenalan mereka, mangsa mendakwa pernah melakukan hubungan seks dengan suspek.

Kali pertama dan kedua berlaku pada Januari tahun ini dan terbaharu awal bulan ini.

Dalam pada itu, siasatan lanjut dilakukan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-UB


PUTRAJAYA: Rangka Kerja Pembangunan Strategik (SDF) Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura akan memberi fokus kepada pelan pembangunan sosioekonomi yang bersifat menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, SDF menggariskan tiga komponen penting dalam pelaksanaannya iaitu ekonomi, inklusif dan kemampanan,

“Penyediaan SDF yang bermula minggu depan akan membabitkan semua pihak berkepentingan di peringkat kerajaan Pusat dan kerajaan tempatan termasuk wakil sektor swasta bersama MyHSR Corporation (MyHSR) dan Unit Pera­ncang Ekonomi (EPU),” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Pelancaran Pelaksanaan SDF MyHSR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal.

Cadangan projek landasan sepanjang 350 kilometer bermula dari Kuala Lumpur hingga Jurong East, Singapura itu mempunyai lima stesen transit iaitu Seremban (Negeri Sembilan), Ayer Keroh (Melaka) serta Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor.

Projek HSR yang dijadualkan siap pada 2026 itu berupaya meningkatkan prospek ekonomi di kawasan luar bandar terutama di lokasi-lokasi sepanjang laluan HSR.

- Utusan Malaysia


Jambatan Batang Samarahan yang merupakan projek berteraskan rakyat sedang rancak dilaksanakan dan dijangka siap pada awal 2018.

Penduduk sekitar Asajaya yang selama ini menggunakan perkhidmatan feri sudah akan mendapat manfaat daripada jambatan itu nanti.



Dari tinjauan ditapak projek jambatan tersebut, tiang-tiang jambatan sudah siap dibina dan kerja-kerja lain berjalan lancar. Difahamkan pekerja berkerja siang malam dan aspek keselamatan tetap diutamakan di tapak projek.

Jambatan tersebut akan menjadi penghubung laluan dari Kuching ke seluruh Sarawak dan tempoh perjalanan akan menjadi lebih singkat . Malah ia akan memberi peluang peningkatan ekonomi penduduk dalam pelbagai bidang yang berkaitan.


Memang jelas setiap janji kerajaan tetap akan ditepati dan akan memberi faedah kepada rakyat.-Sarawakiana


Menyentuh mengenai kemalangan membabitkan kanak-kanak berbasikal pada waktu malam, sudah pasti meresahkan dan membinggungkan ibu bapa.

Perkara sebegini perlu di ambil iktibar oleh ibubapa agar anak-anak di bawah umur tidak keluar rumah pada waktu malam tanpa pengawasan.

Begitulah sembang rakan bersama penulis yang bersarapan kopi 'O' panas kurang manis. Beliau begitu prihatin terhadapa apa yang berlaku kepada anak-anak yang ditimpa kemalangan.

Beliau tidak menyalah sesiapa tetapi lebih menekankan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak yang belum mencapai usia 18 tahun.

Bagi beliau, anak-anak memang perlu pendedahan dunia luar tetapi ibu bapa harus mengawasi kerana anak-anak perlukan perhatian. Bukan bermakna untuk mengongkong anak-anak tetapi ibu bapa lebih memberi dorongan untuk melakukan perkara baik termasuk bersukan pada waktu yang betul dan sesuai.

Bukan membiarkan anak-anak keluar malam kerana aktiviti luar rumah seharusnya dilakukan dilokasi dan masa yang sesuai pada sebelah siang.-Sarawakiana
| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA