• Zaiton Buat Laporan Polis Maraton Di Klang

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman sudah membuat laporan terhadap penganjur Klang City International Marathon di Balai Polis Sri Petaling, dekat sini, petang semalam.

    Ia susulan arahan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam yang mahu tindakan diambil selepas acara berkenaan dianjurkan tanpa kebenaran PJS selaku pihak mengawal selia sebarang acara penganjuran dalam negara.

    Isu membabitkan acara maraton ini mendapat perhatian selepas tiga peserta terbabit kemalangan di Jalan Kapar Batu 2, selain disahkan tidak mendapatkan kebenaran penganjuran.

    Zaiton ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kini menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan susulan.

    Terkilan dengan apa yang berlaku, beliau berharap perkara itu akan menjadi pengajaran kepada pihak lain agar lebih berhati-hati pada masa depan.

    "Jika kuasa saya seperti Ketua Pengarah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memang saya dah tangkap pesalah itu. Tapi saya hanya memegang jawatan pesuruhjaya sukan. Jadi biar pihak polis selesaikan masalah ini," katanya.

    Mengikut Akta Pembangunan Sukan, setiap penganjuran program sukan perlu mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Sukan dan jika gagal, ia adalah satu kesalahan.

    Selain itu, mengikut Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 pula, sebarang penganjuran sukan perlu mendapat kelulusan PJS, di samping keperluan penganjur mendapatkan kebenaran badan pengelola sukan terbabit termasuk polis, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

    Jika disabit kesalahan penganjur boleh dikenakan denda RM5,000 dan hukuman penjara tidak lebih enam bulan.

    Dalam kejadian jam 4.30 pagi Ahad itu, Amiruddin Hamid, 37; Ahmad Hadafi Jus, 42, dan Evelyn Ang Gek Suan, 44, cedera dilanggar kereta Proton Iswara dari arah belakang.

    Akibat rempuhan itu, Amiruddin cedera di bahagian kiri kepala, tengkuk dan tangan manakala Ahmad Hadafi hanya cedera di kaki. Mereka mendapat rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh.

    Zaiton yang turut melawat mangsa berkata semua mereka yang terbabit dengan kemalangan itu dilaporkan dalam keadaan stabil termasuk Evelyn yang mengalami kecederaan parah akibat daripada rempuhan berkenaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Zaiton Buat Laporan Polis Maraton Di Klang "