• Zaid Ibrahim, Khairuddin gagal teruskan kes dana RM2.6b

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan dikemukakan Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung rayuan mereka dalam kes siasatan membabitkan dakwaan dana RM2.6 bilion dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak permohonan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

    Kedua-dua mereka memohon Mahkamah Persekutuan menyemak keputusan mahkamah sama oleh panel sebelum ini yang menolak rayuan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah Rayuan pada April lalu menolak rayuan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara menutup siasatan dan tidak mahu mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

    Hakim Zulkefli dalam penghakimannya, berkata panel berpendapat bahawa ia bukan tanggungjawab mereka untuk menimbangkan sama ada panel terdahulu membuat keputusan yang betul atau sebaliknya.

    "Sehubungan itu, kami berpendapat kami juga tidak perlu memutuskan sama ada terdapat ancaman berat sebelah yang nyata yang diputuskan oleh panel berkenaan," katanya.

    Sementara itu peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Zaid dalam hujahnya berkata, wujud ancaman berat sebelah yang nyata bagi Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif untuk mendengar permohonan kebenaran merayu pada 28 Julai lalu kerana beliau (Md Raus) dilihat menghadiri majlis peribadi di rumah Najib lima hari sebelum prosiding kebenaran merayu didengar.

    Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh bagi Peguam Negara dan kerajaan berkata, permohonan semakan itu sepatutnya ditolak kerana tidak memenuhi peruntukan Kaedah 137, dan majlis dihadiri Md Raus bukannya acara peribadi.

    Katanya, tidak akan ada pengakhiran dalam kes terbabit jika permohonan semakan dibenarkan.

    Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hassan Lah dan Tan Sri Aziah Ali.

    Dalam prosiding hari ini Khairuddin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah.

    Pada 11 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran oleh Mohd Zaid untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung siasatan kes SRC International (SRC) dan dana RM2.6 bilion.

    Mahkamah turut menolak permohonan sama difailkan Khairuddin bagi perintah membatalkan keputusan Mohamed Apandi bahawa tiada kesalahan dibuat Perdana Menteri berhubung tiga kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati, kuasa Peguam Negara mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah. Keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 4 April lalu.

    Subjects:

  • No Comment to " Zaid Ibrahim, Khairuddin gagal teruskan kes dana RM2.6b "