• Warga emas maut dilanggar Hilux

    Reporter: Yusz Man
    Published: Sunday, 17 December 2017
    A- A+


    BINTULU - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh pemandu Toyota Hilux dalam satu kemalangan di Jalan Sultan Iskandar di sini awal pagi tadi.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, kemalangan pukul 6.50 pagi itu mengakibatkan Jalil Mustapha, 65, maut ditempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan.

    Menurutnya, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan sehingga memasuki laluan bertentangan.

    “Pemandu kenderaan itu yang datang dari arah Medan Jaya dikatakan memandu agak laju sehingga terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

    “Kebetulan mangsa yang melalui jalan itu tidak sempat mengelak lalu dirempuh pemandu itu hingga mengakibatkan warga emas itu tercampak ke kiri jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau memberitahu, keadaan jalan raya licin turut mempengaruhi kemalangan berkenaan.

    Tambahnya, pemandu Toyota Hilux itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. - K! ONLINE
  • No Comment to " Warga emas maut dilanggar Hilux "