• Warga Asing Maut Tertembak Diri Sendiri

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+

    Lelaki warga asing maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri di leher dalam kejadian di tepi jalan Kampung Lepan Anjung, Dabong, Kuala Krai, pagi tadi.

    Dalam kejadian 7.30 pagi, mayat yang belum dikenal pasti identitinya, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah bersama motosikal Honda Wave dan senapang patah jenis winchester.

    Turut ditemui beg hitam berisi lima peluru hidup dan tiga peluru di dalam poket seluar mangsa.

    Orang awam yang menemui mangsa berusia 20-an itu, menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa dipercayai tertembak diri sendiri ketika turun dari bukit dengan menunggang motosikal.

    "Bagaimanapun, senapang patah yang dibawa mangsa terhempas ke tanah sebelum meletup dan terkena leher kiri menyebabkannya terjatuh dari motosikal

    "Hasil pemeriksaan di badan mangsa terdapat kesan lubang berukuran 6 sentimeter (cm) x 4cm di leher kiri namun tidak tembus kepala," katanya ketika dihubungi tadi.

    Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.

    "Kita percaya mangsa bukan warga Malaysia kerana tiada kesan suntikan imunasi BCG (Bacillus Calmette Guerin).

    "Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.

    Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Zuhaili Zubir, 27, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Gua Musang ke Rantau Panjang sebelum ternampak mangsa berlumuran darah dengan keadaan motosikal terbalik

    "Pada mulanya saya ingatkan berlaku kemalangan. Kebetulan ketika itu, seorang pemandu lori yang sudah berada di situ memaklumkan mangsa maut ditembak.

    "Saya kemudian meneruskan perjalanan untuk mencari liputan telefon sebelum dapat hubungi polis setengah jam kemudian untuk tindakan lanjut," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Asing Maut Tertembak Diri Sendiri "