• Wanita Banyak Alami Kemurungan

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+


    Kemurungan merupakan salah satu penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, di setiap lingkungan umur. Penyakit ini melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kekecewaan, putus asa dan hilang semangat secara berterusan, sehingga melebihi dua minggu.

    Apabila berbicara mengenai kemurungan, golongan wanita juga terdedah dengan gejala ini pada tahap serius, malah kes-kes kemurungan dalam kalangan wanita adalah lebih serius berbanding lelaki kerana golongan ini lebih beremosi dan sentiasa berada dalam tekanan.

    Menurut Pakar Perunding Psikiatri Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh, golongan wanita boleh menerima kesan kemurungan bila-bila masa sahaja.

    Katanya, kemurungan memang boleh dialami oleh seseorang bergantung kepada bagaimana dia menerima keadaan itu, namun, selalunya kemurungan akibat kesedihan yang dialami mungkin sekitar dua tiga jam sahaja, tetapi sekiranya melarat sehingga melebihi dua minggu, ia sudah menjadi begitu serius.

    “Golongan wanita menerima kesan kemurungan dalam fasa-fasa tertentu iaitu pada tahap kanak-kanak, remaja, dewasa, perimenopaus dan seterusnya pada peringkat menopaus. Malah, golongan ini juga akan melalui mood yang berubah sewaktu dalam pantang selepas bersalin.

    “Sekiranya, kemurungan yang berpanjangan mengakibatkan kemudaratan kepada individu seperti hilang selera makan, rasa tidak seronok, sukar untuk tidur, sentiasa rasa bersalah, rasa tidak berguna, perkara seperti ini harus diambil berat oleh semua pihak terutama keluarga kerana mereka yang sepatutnya memahami dan mengetahui keadaan psikologi insan berkenaan yang di luar daripada kebiasaan,” katanya.

    Dr. Nor Hamidah menambah, kemurungan juga boleh berlaku sekiranya mereka mempunyai sejarah keluarga yang berkaitan dengan kesihatan mental, keadaan persekitaran, stres dan kecelaruan fikiran.

    Golongan wanita terutamanya menurut Dr. Nor Hamidah, sentiasa melalui fasa-fasa kehidupan yang menekan dan sekiranya tiada pendinding diri, tidak kuat dengan ketahanan mental, fikiran mereka boleh terjejas. Kemurungan terbahagi kepada tiga tahap, iaitu rendah, sederhana dan serius.

    Gejala lebih teruk apabila ada perasaan ingin membunuh diri, masalah gangguan hidup seperti tidak boleh bekerja, tidak boleh melakukan aktiviti keluarga seperti menjaga anak atau memasak dan menyebabkan kesengsaraan sehingga membabitkan anak-anak dan keluarga,

    Penyakit psikologi ini bukan setakat rasa sedih, namun boleh melarat kepada simptom lain seperti rasa pesimis, putus asa sehingga mendengar bisikan negatif yang boleh membayangkan diri dan mengundang perkara yang tidak diingini.

    “Ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti perubahan hormon, gaya hidup trauma silam, masalah rumah tangga dan konflik diri menyebabkan tekanan. Namun, tekanan dan kemurungan sebenarnya lebih kerap melanda wanita dewasa yang produktif berumur dalam lingkungan antara 20 hingga 40 tahun,” katanya.

    Katanya, golongan yang mengalami kemurungan perlu mendapatkan rawatan daripada mereka yang profesional dalam bidang berkenaan, namun stigma masyarakat menghalang mereka daripada mendapatkan rawatan yang sempurna.

    Ini kerana ramai yang menganggap seseorang itu adalah ‘gila’ kalau berjumpa pakar psikiatri walaupun sebenarnya banyak masalah mental yang tidak ada kaitan dengan gila. Tidak kurang juga yang menganggap kemurungan sebagai masalah biasa.

    Kemurungan juga berbeza dengan perasaan cemas tidak menentu (anxiety disorder). Mereka yang mengalami perasaan cemas secara tiba-tiba ini menyebabkan mereka tidak boleh bernafas, berdebar-debar dan panik. Mereka khuatir sekiranya diserang sakit jantung, tetapi sebenarnya tidak.

    “Serangan panik dan cemas secara tiba-tiba ini juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sehinggakan mereka akan menjadi cemas tentang hal-hal kecil yang sepatutnya tidak perlu dirisaukan,” katanya.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Banyak Alami Kemurungan "