• Wan Azizah Diperintah Bayar FELDA RM2j

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain, membayar ganti rugi RM2 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan syarikat pelaburannya berhubung artikel fitnah disiarkan lidah rasmi PKR, tujuh tahun lalu.

    Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan Wan Azizah, bekas Senator Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel, Rusnizam Mahat, secara bersama atau berasingan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan rayuan FELDA dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) terhadap ganti rugi RM70,000, yang diputuskan mahkamah pada 13 Februari lalu.

    Geok Yiam dalam penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam FELDA bahawa ganti rugi RM70,000 dan kos RM10,000 yang diberikan kepada perayu sebelum ini adalah tersangat rendah dan sepatutya dinaikkan.

    Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga responden membayar kos berjumlah RM25,000.

    Hakim itu berkata, Timbalan Pendaftar yang mengeluarkan perintah terhadap ganti rugi itu sebelum ini gagal untuk menilai bahawa apabila artikel bertajuk 'Felda Bankrap' dan artikel berserta gambar bertajuk 'Kontroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu', menyebabkan perayu mengalami kerugian kewangan dan sahamnya merudum.

    Beliau berkata, mahkamah berpandangan jika jumlah itu tidak diketepikan dan digantikan dengan jumlah ganti rugi yang sewajarnya, ia boleh menyebabkan semua pihak memandang remeh kepada kes fitnah yang dilemparkan terhadap badan berkanun.

    "Ia menyebabkan mereka berasakan boleh melakukan perkara sama (memfitnah) badan berkanun dan terlepas begitu sahaja dengan hanya membayar jumlah ganti rugi yang rendah.

    "Ini memberikan mesej yang salah kepada masyarakat di luar sana.

    "Ia memerlukan langkah perundangan yang sewajarnya kepada peneroka FELDA. Saya dengan ini melaksanakan kuasa budi bicara saya untuk membenarkan rayuan ini dan mengetepikan jumlah ganti rugi yang diberikan kepada perayu sebelum ini," katanya.

    FELDA dan FGVH menang tuntutan saman terhadap tiga defendan itu pada 17 Oktober 2014 selepas mahkamah mendapati bahawa FELDA selaku badan awam boleh mengemukakan saman berdasarkan Seksyen 15(1) Akta Pembangunan Tanah 1956.

    Berikutan keputusan itu, Wan Azizah, bekas timbalannya, Syed Husin dan Rusnizam, yang dinamakan sebagai defendan mengakui liabiliti (tanggungjawab) terhadap dua artikel bertajuk Felda Bankrap dan Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu dalam edisi Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun 2010.

    Melalui tuntutan saman difailkan pada 17 Ogos 2010 itu, FELDA dan FGVH selaku plaintif mendakwa kedua-dua artikel itu memfitnahnya dan menuntut antaranya ganti rugi am, keterlaluan dan teladan serta permohonan maaf bertulis untuk diterbitkan dalam akhbar dan majalah.

    FELDA dan FGVH berkata, pernyataan fitnah itu bermaksud plaintif tidak berupaya membayar hutang, hutang plaintif melebihi asetnya, tidak mempunyai kelayakan kredit dan tiada sesiapa yang ingin melakukan perniagaan bersama mereka.

    FELDA dan FGVH diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala peguam Francis Pereira bertindak bagi pihak semua responden. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Wan Azizah Diperintah Bayar FELDA RM2j "