• Usul Buka Pejabat Kedutaan Malaysia Di Baitulmaqdis

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Penempatan pejabat kedutaan Malaysia di Timur Baitulmaqdis akan dibincangkan pada minggu pertama Januari ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

    Timbalan Perdana Menteri berkata, usul itu akan dibentangkan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada mesyuarat Kabinet, mencakupi pertimbangan pelbagai aspek.

    Ahmad Zahid berkata, ia kemudian akan dibahas dan diperhalusi jemaah menteri sebelum Malaysia mengemukakan sebarang pendirian untuk menubuhkan pejabat kedutaan di Timur Baitulmaqdis sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

    "Kita akan bincang perkara ini tidak lama lagi, jangkaan seawal minggu pertama Januari ini," katanya kepada pemberita sebaik tiba di perkarangan Masjid Putra, di sini, sebentar tadi.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata ugutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan penyaluran dana kepada negara yang bangkit menyokong Palestin sepatutnya tidak berlaku.

    Tindakan itu, katanya, bercanggah dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, pada 6 Disember lalu.

    "Malaysia tidak akan terikat dengan ugutan ini kerana kita bukan penerima dana terbesar, sebaliknya penyaluran bantuan daripada AS hanya menerusi aspek keselamatan dan teknikal, bukan ekonomi.

    "Oleh itu, Malaysia sebagai negara penaja perhimpunan khas PBB tempoh hari akan terus menyuarakan bantahan terhadap AS supaya Baitulmaqdis kekal milik Palestin," katanya.

    Mengulas Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis, Ahmad Zahid berkata, ia adalah cerminan 'suara' masyarakat Islam di negara ini, tanpa mengira sempadan politik dan ideologi parti yang berdiri teguh memperjuangkan nasib Palestin.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Usul Buka Pejabat Kedutaan Malaysia Di Baitulmaqdis "