• Unit Risikan atasi masalah penguatkuasaan

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    Unit Risikan akan diwujudkan di Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai tahun hadapan bagi menyelesaikan kes penguatkuasaan jalan raya secara menyeluruh.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid berkata, bagi menambah baik perkhidmatan jabatan itu, beberapa bahagian, cawangan dan unit akan ditubuhkan tahun hadapan.

    Menurutnya, ia termasuk unit risikan di Bahagian Penguatkuasa yang akan memberi fokus kepada penguatkuasaan berkaitan pelesenan pemandu, kenderaan klon, pengesanan pesalah trafik yang melanggar peraturan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    "Antara kesalahan yang akan diberi fokus adalah penggunaan telefon bimbit ketika memandu, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu laju dan sebagainya.

    "Penubuhan unit ini juga selaras dengan operasi berasaskan risikan (IBO) yang sedang dibangunkan sebagai strategi jangka panjang dalam meningkatkan kemampuan JPJ secara keseluruhan," katanya pada sidang media sempena 100 hari menerajui JPJ sejak 18 September lalu.

    Beliau turut melancarkan Warkah Tadbir Urus JPJ ke arah TN50 yang dirangka khusus untuk penjenamaan semula JPJ untuk mencapai agenda transformasi negara.

    Katanya, bagi menyokong IBO, satu pasukan yang dikenali sebagai Quit Response Team (QRT) akan diwujudkan sebagai sokongan kepada pasukan operasi penguatkuasaan.

    "QRT ini terdiri daripada pegawai dari Bahagian Penguatkuasa dan Integriti yang diberi latihan secukupnya sama ada di Malaysia mahupun di luar negara," katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Unit Risikan atasi masalah penguatkuasaan "