• Undian Baitulmaqdis Bukti Komitmen Dunia

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Undi majoriti pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah bukti jelas mengenai komitmen dunia kepada undang-undang antarabangsa, kata aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar.

    Presiden International Movement for a Just World (JUST) itu menarik perhatian bahawa Baitulmaqdis diletakkan di bawah undang-undang itu pada 1947 apabila pembahagian bumi Palestin yang bersejarah dilakukan secara tidak adil.

    Beliau menegaskan bahawa merampas atau menakluk mana-mana bahagian kota itu dan kemudian mengisytiharkannya sebagai ibu negara bagi negara salah satu pihak yang mempertikai adalah haram.

    "Sememangnya Amerika Syarikat yang menganggap dirinya sebagai "demokrasi terbesar di dunia" memahaminya. Begitu juga Israel, yang harus dilihat sebagai satu-satunya demokrasi di Asia Barat'," kata beliau dalam satu kenyataan.

    Sesi tergempar Perhimpunan Agung pada Khamis menyaksikan 128 negara menyokong gesaan PBB supaya Amerika Syarikat menarik balik keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dengan badan dunia itu mengisytiharkan keputusan itu sebagai "tidak sah dan terbatal".

    Dr Chandra berkata, ada pihak yang berharap bahawa keputusan undian Perhimpunan Agung itu akan memaksa Washington DC menarik balik keputusannya berhubung Baitulmaqdis.

    Tetapi beliau mengingatkan bahawa berdasarkan rekod prestasi Trump mengenai perkembangan berhubung dengan Perjanjian Perubahan Iklim dan UNESCO, tidak mungkin Amerika Syarikat akan menarik balik keputusan itu.

    Trump sebelumnya mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menarik diri daripada Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim dan juga menarik diri daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), agensi PBB yang memberi tumpuan kepada pendidikan, sains dan kebudayaan.

    "Apa yang paling diharapkan beliau boleh lakukan ialah melengahkan sedikit cadangan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis," katanya.

    Bagaimanapun, Dr Chandra berkata, keputusan undian mengenai Baitulmaqdis adalah kejayaan untuk keadilan global.

    Jika UNGA tidak dapat tampil sebagai suara keadilan global berdasarkan prinsip pada skala lebih luas, ia sebahagiannya disebabkan pelbagai halangan - yang paling besar ialah hubungan Amerika Syarikat-Israel.

    Pelbagai perkembangan di Asia Barat menunjukkan bahawa hubungan Amerika Syarikat-Israel tidak dapat mencapai satu daripada matlamat utama iaitu meningkatkan keselamatan Israel.

    "Kejayaan menumpaskan hubungan jahat ini di Perhimpunan Agung PBB pada 21 Disember menguatkan fakta ini. Ia harus memberi semangat kepada kita untuk menguatkan perjuangan demi mewujudkan dunia yang adil," kata Dr Chandra.

    - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Undian Baitulmaqdis Bukti Komitmen Dunia "