• Undi Majlis Keselamatan Bukti Dunia Bantah AS Iktiraf Baitulmuqaddis

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+
    Keputusan undi 14-1 pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan dengan jelas penentangan antarabangsa terhadap tindakan negara itu.

    Kementerian Luar dalam satu kenyataan malam ini berkata Malaysia juga menyuarakan kekecewaannya terhadap tindakan AS menggunakan kuasa vetonya untuk menentang deraf resolusi yang dicadangkan Mesir semasa mesyuarat UNSC pada Isnin.

    "Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa isu Baitulmuqaddis menjadi teras dalam perjuangan rakyat Palestin dan menyeru semua negara Anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu agar tidak mengikiraf sebarang cubaan untuk meminda sifat dan status Baitulmuqaddis.

    "Malaysia mengalu-alukan inisiatif Turki dalam memanggil Mesyuarat Tergempar Khas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi membincangkan isu berkenaan dengan tujuan untuk membentangkan resolusi serupa," kata kenyataan itu.

    Pada 6 Dis, Presiden AS Donald Trump mengumumkan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan mengeluarkan arahan agar kedutaan negara itu dipindahkan dari Tel Aviv ke kota suci berkenaan.

    Tindakan Trump itu menimbulkan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Undi Majlis Keselamatan Bukti Dunia Bantah AS Iktiraf Baitulmuqaddis "