• Umat Islam Perlu Bersatu Hati Pertahankan Baitulmaqdis

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disaran menunjukkan tanda protes berkaitan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

    Khutbah Jumaat hari ini bertajuk 'Mempertahankan Baitulmaqdis' disampaikan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, beliau menyarankan umat Islam bersatu suara dan tegas bagi memastikan maruah Baitulmaqdis terus terpelihara di bumi Palestin.

    Katanya, isu ini bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin tetapi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

    "Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pengumuman pemimpin Amerika Syarikat yang memerlukan pentadbirannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

    "Hakikatnya, tindakan ini tidak lain adalah untuk menyampaikan hasrat bangsa Yahudi Israel merampas kembali Baitulmaqdis daripada milik umat Islam Palestin bahkan milik kita sebagai umat Islam seluruhnya.

    "Dalam konteks ini, tindakan itu dilihat sesuatu yang tidak tepat dan jelas salah dari sudut norma dan sistem perundangan," katanya.

    Malah, tindakan itu juga dianggap sebagai suatu bentuk rampasan serta jajahan selain mencabuli hak-hak asasi kemanusiaan demi melebarkan lagi kekuasaannya.

    "Kita bimbang, jika ia terus berlaku kemungkinan tercetus huru-hara dan ketenteraman di bumi Palestin dan akan menyebabkan wujud radikalisme, ektremisme baharu yang lebih besar serta boleh mengancam keselamatan lebih buruk di seluruh dunia," katanya.

    Beliau menegaskan supaya semua umat Islam di negara ini tidak terbawa-bawa perlakuan yang mazmumah sehingga mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain.

    Sebaliknya, mengajak umat Islam bertindak waras dan berpandu kepada ajaran Islam yang suka kepada kedamaian dan kesatuan.

    "Justeru, kita perlu tegas, berpegang gagasan, dasar yang jelas dan strategi tuntas yang akan membawa Malaysia ke arah yang lebih dinamik, maju, berdaya saing berpaksikan prinsip Maqasid Syariah serta melaksanakan pendekatan Wasatiyyah atau kesederhanaan.

    "Mudah-mudahan, negara ini beroleh keamanan, kebahagiaan, kemakmuran, kesejahteraan dan mencapai kejayaan sebagai 'Baldatun Toyyibah wa Rabbun Ghaffur," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Umat Islam Perlu Bersatu Hati Pertahankan Baitulmaqdis "