• Ubah Pendirian Tentang Baitulmaqdis Atau Berdepan Tentangan - Erdogan

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Turki memberi amaran akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel jika Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Tel Aviv dipindahkan ke Baitulmaqdis.

    Malah, Presiden Recep Tayyip Erdogan menegaskan, Israel dan AS bakal berdepan kemarahan umat Islam seantero dunia jika perkara itu benar-benar berlaku.

    Jelasnya, keputusan yang bakal dibuat Presiden Donald Trump pada Rabu adalah tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

    "Anda tidak boleh secara membuta tuli melakukan tindakan tersebut. Baitulmaqdis adalah perjuangan mutlak orang Islam dan ia adalah garis merah yang tidak boleh dijajah begitu sahaja.

    "Selain itu, tindakan seumpama itu adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," tegasnya dalam ucapan di Parlimen pada Selasa.

    Ankara, katanya, juga tidak akan teragak-agak mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara- negara Islam OIC untuk membincang lanjut perkara itu.

    "Turki akan menggunakan mandat sebagai pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memanggil mesyuarat tergempar bagi membantah dan melakukan tindakan balas terhadap keputusan terbabit," tambahnya.

    Sementara itu, Israel dalam reaksi balasnya berkata, kecaman Erdogan itu sama sekali tidak menjejaskan usaha pemindahan kedutaan terbabit.

    Malah, Israel dengan bongkak mengatakan bahawa Baitulmaqdis dimiliki Israel sejak 70 tahun lalu.

    "Baitulmaqdis telah menjadi bandar utama Yahudi sejak 3,000 tahun lalu dan menjadi ibu negara Israel sejak 70 tahun lalu. Sama ada Erdogan suka atau tidak, itu adalah hakikatnya.

    "Serta, kami tidak mengambil arahan langsung mahupun terkesan dengan amaran yang dinyatakan Turki," jelas Menteri Pengangkutan Israel, Yisrael Katz.

    Turki sebelum ini menentang pencerobohan Israel di timur Baitulmaqdis ketika perang 1967 dan mencemar hubungan dua hala Turki-Israel.

    Turki kemudian menurunkan tahap hubungan diplomatiknya pada 1980 susulan pengisytharan Baitulmaqdis sebagai bandar utama Israel.

    Pada 2010, hubungan Turki-Israel di tahap kritikal apabila 10 aktivis warga Turki yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Mavi Marmara dibunuh tentera Israel.

    Namun, hubungan itu berjaya dipulihkan kembali pada 2016 tetapi ia hanya terhad kepada hubungan ekonomi. - Astro Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Ubah Pendirian Tentang Baitulmaqdis Atau Berdepan Tentangan - Erdogan "