• Ubah cara disiplinkan remaja dengan guna kekerasan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    Sering kali pendekatan yang dibuat untuk mendisiplin remaja yang bermasalah dengan menggunakan kekerasan. Kekerasaan seperti merotan, memukul, menghukum remaja bermasalah adalah cara yang dirasakan betul dan tepat untuk memberi pengajaran kepada mereka.

    Tetapi, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ab Aziz Mohd Yatim berkata menggunakan kekerasan untuk mendisiplinkan remaja adalah cara yang salah sebaliknya menggunakan pendekatan kasih sayang.

    Beliau, yang sudah mempunyai pengalaman 13 tahun sebagai guru bimbingan serta kaunseling berkata kebanyakkan remaja bermasalah ini sebenarnya dahagakan kasih sayang.

    “Pendekatan kekerasan dan hukuman sebenarnya membuatkan mereka menjadi lebih teruk dan memberontak di samping menjadi pemarah dan berdendam,” katanya.

    Menurutnya, di awal pembabitan sebagai guru dia amat tegas dan garang dalam mendisplinkan pelajarnya. Beliau merasakan kekerasan dapat mendisiplinkan pelajarnya.

    “Pada masa itu, saya percaya bahawa kekerasan seperti hukuman pukul secara umum dan rotan boleh membentuk disiplin pelajar. Pernah sekali saya mengurung pelajar di bawah tangga dengan mengunci pintu stor supaya dia insaf dengan kesilapannya.

    “Namun, saya silap. Biarpun masalah itu selesai tetapi ia hanyalah di depan mata saya sahaja sedangkan di belakang saya mereka tetap melakukan pelbagai perkara yang melanggar disiplin pelajar sehingga ada membahayakan nyawa,” kongsi Ab Aziz.

    Namun begitu, sikap garang dan tegas dalam mendisiplinkan pelajar itu mula berubah apabila beliau sering mengikuti program bimbingan pelajar.

    “Kemuncaknya, apabila saya melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan di Universiti Putra Malaysia kerana ingin menambah ilmu yang ada dan kemudian menjadi guru bimbingan dan kaunseling sebaik tamat pengajian,

    “Saya insaf dengan pendekatan kekerasan sebelum ini dalam membentuk sahsiah pelajar. Saya tidak lagi menggunakan kaedah rotan mahupun mengenakan hukuman pukul secara umum seperti sebelumnya,” katanya.

    Ab Aziz juga telah manghasilkan modul sendiri tentang cara untuk mendisiplinkan pelajar yang dinamakan ‘Prodigy’. Modul itu memberi keutamaan kepada aspek kasih sayang dalam cara guru untuk mengendalikan pelajar nakal.

    Kesan positif modul Ab Aziz itu, terdapat ramai pelajar kaki buli menjadi pelajar yang lebih baik.

    “Pernah saya menjadi guru bimbingan dan kaunseling di sekolah vokasional di mana cikgunya sangat garang manakala disiplin pelajarnya amat teruk, bermasalah kes buli dan sebagainya. Mereka asyik bergaduh jadi saya menggunakan pendekatan kasih sayang ini.

    “Keputusannya sangat memberangsangkan apabila ramai kaki buli jadi lebih baik, ada yang jadi pengawas dan sebagainya. Ini berlaku apabila mereka merasakan diri disayangi dan dihargai sekali gus membuktikan wahana kasih sayang adalah penyelesaian sebaiknya,” ulas beliau.

    Bagaimanapun, beliau agak kecewa masih ramai yang memandang mudah dengan kepentingan ‘kasih sayang ini’.

    Kasih sayang ini amatlah penting dalam membentuk diri dan juga rohani seseorang. Malah, kasih sayang terbukti dapat menyelesaikan masalah disiplinkan remaja. Remaja ini adalah aset bernilai buat negara, rugi jika kita menangani masalah disiplin remaja dengan cara yang salah. –utaranews

    Subjects:

  • No Comment to " Ubah cara disiplinkan remaja dengan guna kekerasan "