• Tun M Kaburi Rakyat Isu Kerugian BNM

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai cuba mengaburi mata rakyat apabila mendakwa Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian tukaran wang asing berjumlah RM39.6 bilion, di antara tahun 2013 hingga 2015.

    EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, berkata jumlah RM39.6 bilion itu sebenarnya adalah penyusutan rizab antarabangsa disebabkan pelbagai faktor, termasuk aliran keluar modal dan penurunan lebihan dagangan.

    Katanya, kejatuhan rizab berkenaan secara langsung berkait dengan penurunan lebihan akaun semasa akibat kejatuhan harga minyak dan gas.

    "Hasil eksport minyak dan gas yang menurun mengurangkan lebihan dagangan seterusnya menyebabkan permintaan terhadap ringgit menurun.

    "Oleh sebab itu, ringgit menyusut berbanding mata wang lain terutama dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya pada BH, hari ini.

    Mengulas lanjut, Shahril berkata, BNM mempunyai mandat untuk menjalankan operasi monetari bagi menstabilkan kadar faedah dan mengurangkan penurunan serta kenaikan ringgit secara mendadak menggunakan rizab antarabangsa.

    "Sebab itu juga, rizab antarabangsa kita menurun, ia bukan kerana BNM berdagang di pasaran untuk mendapatkan keuntungan.

    "Kalau seseorang faham mengenai fungsi rizab bank pusat, sudah tentu mereka tidak akan menganggap penurunan rizab BNM sebagai kerugian.

    "Ada beza 'berjudi' dengan rizab untuk raih keuntungan untuk memastikan kelancaran serta kestabilan sistem kewangan dan ekonomi negara," katanya.

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata aliran keluar dana asing dalam tempoh 2013 hingga 2015 adalah kesan daripada faktor luaran berbanding situasi pada 1990-an akibat isu dalaman iaitu pembabitan kakitangan BNM secara langsung dalam perniagaan mata wang asing.

    Ahmed Razman berkata, faktor luaran itu merangkumi ketidakstabilan ekonomi dunia.

    "Kita kena faham apa yang berlaku pada 2013-2015 bukan disebabkan isu dalaman.

    Pada tempoh itu, tidak wujud salah laku. Apa yang berlaku harga minyak menurun, pertumbuhan ekonomi negara perlahan, pelabur asing jual ekuiti, bon mereka di Malaysia dan memindahkan pelaburan ke negara lain.

    "Ia sekali gus memberi kesan kepada nilai ringgit dan pada masa sama, meningkatkan permintaan kepada dolar AS," katanya.

    Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyangkal tuduhan Dr Mahathir yang mengatakan RM39.6 bilion berkenaan adalah kerugian tukaran asing BNM.

    Kata Johari, ia sebenarnya jumlah penyusutan rizab antarabangsa disebabkan aliran keluar dana asing dari Malaysia dalam tempoh berkenaan.

    Beliau berkata, sindiran Dr Mahathir yang dibuat menerusi satu video, yang mendakwa BNM cuai menguruskan rizab antarabangsa dalam tempoh itu hingga kerugian adalah tindakan melulu.

    Malah, katanya, ia satu cubaan memperlekehkan mandat BNM dalam melindungi ekonomi dan kestabilan negara dengan mewujudkan keraguan dan salah anggap dalam kalangan orang ramai. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M Kaburi Rakyat Isu Kerugian BNM "