• Trump Tak Akan Bertemu Ratu Elizabeth

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    LONDON: Presiden Donald Trump akan melawat Britain Februari depan untuk membuka kedutaan baru di ibu kota negara itu tetapi tidak akan bertemu Ratu Elizabeth, lapor akhbar Daily Mail hari ini.

    Rancangan Trump itu terbukti kontroversi sejak Perdana Menteri Britain, Theresa May, menjemput beliau melakukan lawatan, yang selalunya membabitkan sambutan mewah dan majlis yang dihoskan Ratu.

    Bagaimanapun, hampir dua juta penduduk Britain menandatangani petisyen berkata Trump tidak sepatutnya dijemput kerana 'ia akan mengaibkan Ratu' dan kedatangan Trump dijangka disambut dengan tunjuk perasaan.

    Akhbar berkenaan memetik sumber di Westminster sebagai berkata Trump memberitahu May dalam panggilan telefon semalam bahawa beliau merancang membuat lawatan kerja ke Britain untuk membuka kedutaan baru, bangunan bernilai berbilion dolar yang berhadapan Sungai Thames.

    Jurucakap Downing Street enggan memberi ulasan mengenai laporan itu.

    May, pada asalnya menjemput Trump melawat Britain pada akhir tahun ini.

    Britain menganggap hubungan rapat dengan Washington sebagai 'istimewa' dan tunjang dasar luarnya ketika ia bersiap sedia berundur daripada Kesatuan Eropah.

    Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang sejak beberapa bulan ini, terutama apabila Trump mencetuskan kemarahan dengan menegur May di Twitter selepas beliau mengkritiknya kerana men'tweet' semula video anti-Islam puak berhaluan kanan Britain. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Trump Tak Akan Bertemu Ratu Elizabeth "