• Trafik Maritim Hadapi Kesesakan

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    SYDNEY – Lebih 300 kapal kargo besar terperangkap dalam kesesakan trafik maritim di luar pelabuhan di China dan Australia berikutan permintaan tinggi komoditi seperti arang batu dan bijih besi pada musim sejuk tahun ini.

    Sebilangan kapal kargo terpaksa menunggu selama lebih sebulan untuk mengisi muatan di luar pelabuhan-pelabuhan di Australia.

    Secara keseluruhan, kapal-kapal kargo yang terlibat dalam kesesakan lalu lintas maritim itu boleh membentuk deretan kapal sepanjang lebih 60 kilometer.

    Selain mengakibatkan bekalan komoditi itu lewat dihantar ke China, kesesakan trafik itu turut mengakibatkan kos perkapalan meningkat ketika sektor tersebut baru pulih daripada kemelesetan selama lebih tiga dekad.

    Penyewa kapal capesize iaitu kapal kargo kering terbesar berdepan kemungkinan membayar caj tambahan AS$1 juta untuk setiap kapal mereka yang terperangkap selama 45 hari, demikian menurut data perisian Eikon Reuters.

    “Terdapat beberapa pelabuhan di timur Australia yang mempunyai 80 buah kapal berlabuh kerana terpaksa menunggu antara 20 hingga 25 hari untuk mengisi muatan sekali gus mengakibatkan kesesakan trafik,” kata Pengarah Urusan Firma Teo Shipping, Ziad Nakhleh.

    Syarikat perkapalan dan broker berkata, kelewatan itu merupakan perkara biasa terutamanya semasa permintaan arang batu dan mineral di China memuncak pada musim sejuk.

    Pelabuhan-pelabuhan Australia yang terkesan akibat kesesakan maritim itu termasuk terminal eksport Queensland di Hay Point dan Teluk Dalrymple di mana sebanyak 76 kapal capesize dan panamax terpaksa menunggu lama untuk mengisi muatan.

    Kapal kargo panamax merujuk kepada kapal terbesar yang boleh melalui Terusan Panama.

    “Ini sudah tentunya kesesakan. Saya tidak fikir ia perkara biasa untuk menunggu selama enam minggu,” kata seorang lagi pengarah syarikat perkapalan, Nicolas Bunnemann. – Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Trafik Maritim Hadapi Kesesakan "