• TPM pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, yang diumumkan penubuhannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, minggu lalu.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata majlis itu juga akan turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar ekonomi.

    Beliau berkata, mesyuarat pertama akan diadakan selepas semua terma rujukan yang bakal dibentangkan pada minggu pertama Januari depan mendapat persetujuan kerajaan.

    "Berhubung keahlian majlis ini, pelbagai sektor boleh membantu kita dalam menangani pelbagai faktor yang menyebabkan inflasi termasuk dari segi kepenggunaan.

    "Justeru, semua NGO dan pakar ekonomi akan kita bawa bersama," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini hari ini.

    Hamzah ketika menyampaikan ucapan penggulungan mewakili Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada perhimpunan agung parti itu minggu lalu, berkata kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

    Langkah proaktif itu adalah sebahagian usaha menangani peningkatan kos sara hidup yang menjadi kebimbangan utama rakyat negara ini.

    Penubuhan majlis itu mendapat persetujuan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti dicadangkan oleh wakil UMNO Sabah, Jamawi Jaafar sebelum itu.

    Hamzah berkata, beliau sudah membawa hal berkaitan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara ke mesyuarat Kabinet semalam serta membentangkan tindakan yang bakal diambil.

    Selain itu, katanya, kedudukan Jawatankuasa Kabinet Menangani Kos Sara Hidup ketika ini juga akan diumumkan kemudian.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mesyuarat Kabinet juga bersetuju meluluskan pertukaran nama Maktab Koperasi Malaysia (MKM) kepada Institut Koperasi Malaysia.

    Subjects:

  • No Comment to " TPM pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara "