• Todt kekal presiden FIA

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+

    Paris: Jean Todt kekal menerajui badan perlumbaan permotoran - Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk penggal ketiga semalam.

    Todt, 71, yang juga bekas pengurus pasukan F1 Ferrari terpilih sebulat suara sebagai presiden FIA dalam majlis pemilihan yang berlangsung di sini.

    "Selama beberapa tahun, kita saling mengenali, bekerja rapat sebagai rakan kongsi. Hari ini (FIA) makin kukuh dengan pelbagai komuniti didalamnya.

    "FIA akan terus mengukuhkan pengaruh dalam setiap bidang permotoran dan sukan perlumbaan, mempromosi inovasi, membantu negara ahli dan membuka peluang serta menyambut baik kedatangan negara baharu,'' katanya sambil menggariskan beberapa pendekatan mengukuhkan badan itu.

    Suami kepada aktor dari Malaysia, Datuk Michelle Yeoh, memulakan kariernya sebagai pemandu kereta rali dan pernah muncul naib juara perlumbaan Rali Dunia pada kejohanan 1981 ketika menjadi pembantu kepada Guy Frequelin.

    Todt kemudian beralih kepada bidang pengurusan sukan rali, perlumbaan kereta lasak dan perlumbaan F1 sebelum dilantik sebagai pengarah sukan pasukan F1 Peugeot Talbot sebelum menyertai Ferrari.

    Beliau juga bertanggungjawab mewujudkan perlumbaan Formula E serta terbabit menjual hak komersial F1 kepada Liberty Media.

    Todt juga pernah dilantik sebagai duta khas Keselamatan Jalanraya oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pada 2015. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Todt kekal presiden FIA "