• TN50 Bakal Bawa Malaysia Ke Negara Premier League

    Published: Friday, 1 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi antara negara liga atasan dunia (premier league) dan bukan lagi negara di liga bawahan apabila semua yang dirancang dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) berjaya dilaksanakan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata ketika ini, walaupun Malaysia merupakan negara contoh buat negara-negara yang sedang membangun seperti di rantau ASEAN dan Afrika, namun tidak mustahil keadaan ini boleh berubah sekiranya TN50 dapat dirangka dan dilaksana dengan begitu baik dan teliti.

    “Sebelum ini, kita cuma jadi negara yang mengejar negara maju lain yang sudah jauh ke hadapan dari segi teknologi, pembangunan sosial, pendidikan dan sebagainya. Jadi pada 2050, kita tidak mengejar lagi mereka, tetapi sebaliknya yang berlaku.

    “Kita akan jadi sasaran. Itulah negara kita kelak, penanda aras untuk negara lain bukan sahaja dalam second division malah dalam premier league. Itulah hasrat TN50,” katanya dalam program Bicara Tokoh Muda sewaktu Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) di sini hari ini.

    Jelasnya, kerajaan perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk tempoh 30 tahun akan datang jika ingin terus bersaing dan lebih berdaya maju berbanding negara-negara dunia pertama lain.

    Kepada soalan sama ada TN50 menghapuskan legasi pembangunan terdahulu seperti Wawasan 2020, Khairy berkata kerajaan perlu merancang idea, aspirasi, visi dan pembangunan baru yang lebih relevan dengan kehendak dunia sekarang sebaik sahaja mencapai tahun 2020.

    “Adakah apabila sudah sampai 2020 kita akan berhenti dari mencari aspirasi dan visi dan barulah ingin merancang sesuatu yang baru? Kita perlu refresh our vision. Dalam Wawasan 2020 ada beberapa perkara yang tidak disebut seperti Internet, sukan, budaya, kelestarian alam sekitar.

    “Jadi kita perlukan TN50. Ini yang dimaksudkan dengan continuity,” katanya.

    Justeru dalam menjayakan TN50 ini, Khairy berkata kerajaan memerlukan sokongan daripada golongan belia untuk menjayakannya kerana masa depan negara bakal dicorak dan dimanfaatkan oleh generasi tersebut.

    Sementara itu, dalam satu lagi program sebelum itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Shamsudin berkata golongan belia perlu merebut peluang dan ruang yang diberikan kerajaan, agensi berkaitan kerajaan dan badan bukan kerajaan dan keluar dari silo masing-masing jika ingin menjadi lebih berjaya.

    “Ada belia rasa diri mereka tidak perlu atau tidak penting untuk terlibat dalam pembangunan dan polisi kerajaan. Ini keadaan yang membimbangkan kerana belia juga sebahagian dari pengundi yang menentukan dasar dan hala tuju sesebuah negara.

    “Jadi, bagaimana kerajaan ingin membantu golongan belia jika mereka sendiri tidak mahu terlibat dalam isu semasa, politik dan hanya mementingkan keadaan persekitaran sendiri?,” katanya.

    Pemanas merupakan program anjuran Biro Pendidikan UMNO yang dihadiri 350 peserta terdiri daripada mahasiswa di dalam dan luar negara bagi membincangkan pelbagai isu anak muda khususnya berkaitan mahasiswa selaras dengan program menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 bertemakan ‘Mahasiswa Arkitek Malaysia Alaf Baru’. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " TN50 Bakal Bawa Malaysia Ke Negara Premier League "