• TMJ Beri 'Lesen Besar' Kepada Cheng Hoe

    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe akan diberi ruang serta kebebasan sepenuhnya untuk melakukan apa saja yang terbaik dalam mengangkat semula imej dan belang Harimau Malaya.

    Jaminan itu diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengesahkan bekas jurulatih Kedah itu turut diberi kebebasan untuk memilih sendiri penolongnya.

    Bagaimanapun, Tunku Ismail mahukan Cheng Hoe memberi fokus menanam mentaliti kemenangan dalam diri setiap pemain yang menjadi masalah utama di kalangan barisan Harimau Malaya.

    "Daripada situasi sekarang, Cheng Hoe sangat sesuai untuk jawatan ini. Harap dia akan buat yang terbaik dan saya akan sokong.

    "Tidak ada yang baharu dan dia akan kekal dengan kontrak dua tahun. Kita akan beri ruang dan dia bebas untuk lakukan apa saja yang dia rasa terbaik untuk pasukan negara.

    "Tidak ada sasaran yang terlalu tinggi dan perkara pertama adalah mengubah mentaliti pemain kepada mentaliti kemenangan.

    "Sekarang kita perlu memenangi perlawanan, ubah mentaliti dan baiki apa juga kelemahan," kata Tunku Ismail selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM, hari ini.

    Rabu lalu, Vingada melepaskan jawatannya sebagai rasa tanggungjawab selepas gagal menghadirkan sebarang kemenangan buat Harimau Malaya dalam tujuh perlawanan kendaliannya.

    Tidak sampai sehari selepas itu, FAM mengumumkan pelantikan Cheng Hoe mengisi 'kerusi panas' berkenaan dengan Tunku Ismail mengesahkan kontraknya kekal dua tahun seperti yang dipersetujui dalam perjanjian ketika dilantik sebagai penolong Vingada sebelum ini.

    Sementara itu, Tunku Ismail mengingatkan pemain supaya tidak menganggap panggilan pasukan kebangsaan satu perkara yang membebankan.

    "Mewakili negara tidak dijadikan sebagai satu beban. Sebagai pemain, keinginan capai sesuatu kena sentiasa ada.

    "Sepatutnya, jadi satu penghargaan untuk mereka mewakili negara," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " TMJ Beri 'Lesen Besar' Kepada Cheng Hoe "