• TLDM Hantar 45 Tan Keperluan Makanan, Perubatan Bantu Mangsa Taufan Tembin

    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+
    KOTA KINABALU, 27 Dis (Bernama) -- Kapal Diraja (KD) Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menghantar 45 tan barangan keperluan makanan, pakaian dan perubatan bagi misi bantuan kemanusiaan ke kawasan terjejas dengan Taufan Tembin di selatan Filipina, malam ini.

    Pegawai Pemerintah KD Kedah Komander Ruzman Mat berkata terdapat dua pusat pengumpulan barang keperluan bagi misi bantuan kemanusiaan itu, masing-masing di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar dan Markas Wilayah Laut 2 di Sandakan.

    Beliau berkata KD Kedah dijangka belayar ke Sandakan pada 7 malam ini bagi mengambil barangan bantuan dikumpulkan di sana selepas selesai proses pemunggahan masuk kesemua barangan bantuan, di sini.

    "Kapal dijangka tiba di Sandakan pada 8 pagi (Khamis) dan selepas selesai pemunggahan (masuk) barang bantuan di sana, kapal akan meneruskan pelayaran ke pelabuhan Zamboanga.

    "Pelayaran ke sana akan mengambil masa dan dijangka KD Kedah akan tiba pada pagi 30 Dis (Sabtu)," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu proses pemunggahan masuk barangan bantuan misi kemanusiaan itu ke KD Kedah di jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, dekat Sepanggar, di sini hari ini.

    Turut hadir Timbalan Panglima Armada Timur Kapten Zahid Abd Aziz.

    Ruzman berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama dengan anggota tentera Filipina bagi mengagihkan barangan bantuan misi kemanusiaan itu ke kawasan bencana di Tubod dan Piagapo.

    Seramai 90 anggota KD Kedah terlibat dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan itu, katanya.

    Pada Isnin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementeriannya menerusi ATM diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan yang mengalami banjir dan tanah runtuh terutama di Tubod dan Piagapo.

    Hishammuddin juga telah menghubungi Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana bagi menzahirkan simpati kementerian serta rakyat Malaysia terhadap mangsa bencana di selatan negara itu.

    Media antarabangsa melaporkan lebih 200 orang terbunuh manakala berdozen lagi hilang ketika taufan berkenaan melintasi wilayah tersebut. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " TLDM Hantar 45 Tan Keperluan Makanan, Perubatan Bantu Mangsa Taufan Tembin "