• Tikam Kenalan Gara-Gara Perselisihan Di Media Sosial

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: Seorang wanita dipercayai menikam kenalannya angkara perselisihan faham di media sosial ditahan polis di Little India, Klang Selatan, dekat sini, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pihak polis berjaya mengesan suspek selepas rakan mangsa membuat laporan polis pada Selasa lalu.

    "Menurut siasatan awal mendapati pada 5 Disember jam 11.30 malam suspek bersama tiga lagi rakannya pergi ke stesen KTM Seri Setia, Sungai Way untuk berjumpa dengan mangsa.

    "Pertemuan itu dilakukan bagi menyelesaikan perselisihan faham berhubung kata-kata antara dua belah pihak di ruang media sosial," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Zani berkata, perjumpaan terbabit bertukar menjadi pergaduhan dengan membabitkan penggunaan beberapa peralatan merbahaya.

    "Mereka menggunakan peralatan seperti stering lock, topi keledar, kayu dan pisau dalam pergaduhan terbabit.

    "Dalam pergaduhan itu tiba-tiba mangsa ditikam oleh suspek sehingga menyebabkan kecederaan," katanya.

    Mangsa yang berusia 20an itu mengalami kecederaan di bahagian perut dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan suspek direman bermula hari ini hingga 10 Disember. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tikam Kenalan Gara-Gara Perselisihan Di Media Sosial "