• ‘Tiga Sukan Boleh Gulung Tikar’

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Keputusan menggugurkan sepak takraw, angkat berat dan taekwondo daripada senarai sukan teras bermakna sukan berkenaan kini boleh gulung tikar andai tiada ‘bantuan kecemasan’ diberikan dalam tempoh terdekat kata Datuk Wira Mazlan Ahmad.

    Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu berkata, tindakan berkenaan adalah kesan berat yang bakal diterima oleh sukan terlibat kerana tidak lagi akan mendapat bantuan kewangan daripada MSN.

    Katanya, selain itu program akar umbi sukan berkenaan dalam melahirkan atlet muda bakal terhenti kerana tidak dipertandingkan dalam Sukan Malaysia.

    Tambah Mazlan, untuk memastikan sukan seperti sepak takraw dan angkat berat tidak terkubur maka beliau mencadang­kan agar MSN mengambil alih sepenuhnya pengurusan sukan tersebut daripada persatuan kebangsaan ma­sing-masing.

    “Dalam situasi ini MSN mempunyai kuasa untuk menggugurkan mana-mana sukan yang dilihat tidak mempamerkan peningkatan prestasi.

    “Untuk menyelamatkan sukan seperti sepak takraw dan angkat berat saya berpendapat MSN perlu mengambil alih sepenuhnya pembangunan sukan itu termasuk melatih atlet manakala pihak persatuan sukan kebangsaan terlibat harus memberikan sokongan penuh.

    “Sekiranya ini dipersetujui maka pihak Pesuruhjaya Sukan juga akan memainkan peranan memantau persatuan sukan kebangsaan terlibat agar tidak campur tangan dalam segala hal pembangunan dan jika melanggar syarat maka mereka boleh dibubarkan.

    “Ini adalah cadangan saya dan terpulang kepada pihak MSN untuk menerimanya. Persatuan sukan terlibat harus akur, tanpa perlu membantah andai tidak mahu sukan seperti sepak takraw dan angkat berat terkubur.

    “Sukan taekwondo pula saya berpendapat mereka mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

    Pada Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan teras negara kerana prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

    Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN membuat semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut sejak 2007.

    Prestasi yang semakin merosot selain terlibat dengan pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atlet sukan itu dalam ujian doping adalah punca utama angkat berat digugurkan manakala sepak takraw dan tae­kwondo disingkirkan kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi.

    Dalam tempoh empat tahun sebanyak tujuh kes positif doping dilaporkan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) melibatkan atlet angkat berat negara.

    Sepak takraw pula dilihat tidak memberikan tumpuan dalam aspek pembangunan selain kedudukannya dalam ranking dunia telah digugat oleh negara-negara baharu.

    Bagi sukan taekwondo pula, pencapaian atletnya tidak begitu memuaskan dan gagal menyatukan penggiat sukan itu.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Tiga Sukan Boleh Gulung Tikar’ "