• Tiga Gimnas Terpilih Ke Sukan Komanwel, Asia

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Berbaki tiga bulan menjelang Sukan Komanwel, jurulatih gimnastik artistik wanita, Nataliya Sinkova sudah mengenal pasti tiga atlet yang akan terpilih ke Gold Coast, Australia.

    Jurulatih kelahiran Ukraine itu mendedahkan tiga atlet berkenaan ialah Farah Ann Abdul Hadi, Tracie Ang dan Tan Ing Yueh.

    Bagaimanapun, Nataliya masih lagi menimbang untuk menyenaraikan seorang lagi gimnas bagi melengkapkan empat slot seperti yang diberikan sebelum mereka menyertai temasya di Australia (4 hingga 15 April) dan Sukan Asia di Indonesia (18 Ogos hingga 2 September).

    "Kami masih belum memilih atlet berkenaan kerana akan melakukan pemilihan dan hanya ada satu lagi slot yang tinggal. Mereka harus membuktikan bahawa mereka layak berada dalam pasukan ini.

    "Mereka akan dipilih berdasarkan tahap kecergasan (tanpa kecederaan), tahap rutin yang mampu dilakukan dan meraih mata dalam semua acara. Jika mereka mampu meraih mata dalam semua acara, mereka akan menjadi sebahagian dari pasukan," katanya.

    Nataliya, yang sekarang ini berada di negara kelahirannya kerana bercuti, berkata agak sukar untuknya membuat keputusan kerana beberapa muka baharu berjaya menunjukkan peningkatan mendadak.

    "Pendatang baharu seperti Nur Azira Aziri, yang berada dalam skuad emas berpasukan gimnastik artistik Sukan SEA, Geanie Ng Ee Ling dan Lavinia Jayadev berjaya menunjukkan peningkatan menakjubkan," katanya.

    Bagi Sukan Komanwel, Nataliya berkata, fokus utamanya adalah bersandarkan kepada acara berpasukan tapi beliau optimis mengenai peluang mereka untuk menjadi antara tiga negara terbaik Asia.

    "Kami memang memasang hajat besar di Sukan Asia dan mahu membuktikan sesuatu. Sebelum ini Tracie menduduki tempat kesembilan dan Farah pula ditangga ketujuh, jadi kami semakin hampir untuk bersaing di kelompok terbaik.

    "Saya rasa kami mampu untuk mencapai sasaran, berada dalam kalangan tiga negara terbaik Asia," katanya.

    Nataliya juga mengakui Australia, Kanada dan England adalah pencabar utama skuad negara berikutan tahap negara berkenaan yang beraksi di peringkat Olimpik. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tiga Gimnas Terpilih Ke Sukan Komanwel, Asia "