• Tiada Pengadang Keselamatan, JKKP Keluar Notis Larangan

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan notis larangan ke atas projek pembinaan saliran air ribut di Jalan Tun Abang Haji Openg , di sini semalam.

    Dalam satu kenyataan hari ini JKKP berkata notis larangan itu dikeluarkan selepas siasatan yang dijalankan selepas insiden kematian seorang penunggang motosikal di lokasi projek mendapati projek pembinaan tersebut gagal memasang pengadang bagi kerja pengorekan.

    "Siasatan lanjut akan dijalankan bersama Pihak Berkuasa Tempatan yang lain bagi mengenal pasti punca berlakunya kemalangan.

    "JKKP akan mengambil tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya.

    JKKP turut menggesa agar semua kontraktor projek pembinaan dapat mematuhi dan mempertingkatkan elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) terutamanya aktiviti dan projek pembinaan yang melibatkan orang awam bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

    "JKKP berasa amat sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini," kata kenyataan itu.

    Dalam kejadian pagi semalam, Dina Dzulkarnain Asan, 29, maut apabila motosikal yang ditunggangnya terjunam ke dalam lubang projek tersebut.

    Mangsa ialah anak kepada Timbalan Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan bekas editor sukan akhbar Kosmo! Asan Ahmad Ibin. - Bernama
  • No Comment to " Tiada Pengadang Keselamatan, JKKP Keluar Notis Larangan "