• Tiada Kompromi Terhadap Pegawai, Anggota Polis Terlibat Jenayah - TPM Zahid

    Reporter: Yusz Man
    Published: Saturday, 30 December 2017
    A- A+

    BAGAN DATUK- Kementerian Dalam Negeri tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian jenayah yang dilakukan oleh pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata soal integriti adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak ansur dan tindakan setimpal akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah.

    "Kita memberikan keutamaan kepada soal keselamatan. Jika kejadian jenayah berlaku, apatah lagi jika ia dilakukan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa dan anggotanya, maka tindakan pasti dilakukan.

    Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak. Ini adalah komitmen kita kepada rakyat keseluruhannya," katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah membabitkan 1,136 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Parlimen Bagan Datuk di SJKC Chong San di Rungkup di sini, hari ini.

    Semalam, PDRM mengesahkan penahanan seorang Inspektor dan dua anggotanya yang bertugas di Perak serta seorang orang awam bagi membantu siasatan kes kejadian samun berkumpulan dan memeras ugut di sebuah rumah di Ipoh, pada Rabu.

    Ini berikutan seorang lelaki berusia 54 tahun telah membuat laporan polis mendakwa didatangi enam lelaki mengaku sebagai anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan di dalam rumahnya selain diperas ugut untuk menyerahkan RM12,300.

    Dipercayai wang tersebut diminta sebagai melepaskan mangsa daripada dibawa ke balai polis kerana penemuan dadah di rumahnya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata pihaknya bersedia meluluskan penggunaan pistol kepada Jabatan Perhutanan bagi mengekang kegiatan pencerobohan hutan.

    Katanya anggota penguat kuasa jabatan itu boleh menggunakan senjata api itu untuk mempertahankan diri daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.

    "Senjata akan diberikan jika ada permohonan untuk kegunaan rasmi dan mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri.

    Ketua Pengarah Perhutanan (Datuk Nor Akhirudin Mahmud) boleh memohon kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) untuk memperlengkapkan pegawai-pegawai mereka dengan senjata api," katanya.

    Ahmad Zahid diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini memetik kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPK), Datuk Mohamed Zin Yusop yang mahu PDRM menambah penggunaan senjata api pasukan elit jabatan itu bagi penguatkuasaan kes kesalahan hutan, terutama pencerobohan hutan simpan.

    Mohamed Zin dilaporkan berkata, JPNPK mempunyai 10 laras senapang patah dan apabila pasukan elit itu beroperasi nanti, pihaknya akan mengemukakan permohonan bagi perolehan pistol.

    "PDRM boleh meluluskan penggunaan pistol berdasarkan kesesuaian tugasan dan pangkat pegawai jabatan berkenaan," kata Ahmad Zahid.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Kompromi Terhadap Pegawai, Anggota Polis Terlibat Jenayah - TPM Zahid "