• Tiada Keperluan PRK Di Jelebu – SPR

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Jelebu ekoran kematian penyandangnya Datuk Zainuddin Ismail awal bulan ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

    Ini memandangkan waktu terdapatnya kekosongan luar jangka itu berlaku telah melepasi tempoh kurang daripada dua tahun sebelum Parlimen dibubar, jelas Mohd Hashim menerusi kenyataan media di sini hari ini.

    “Memandangkan tempoh mandat Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 telah melebihi tempoh tiga tahun dan tiada pemberitahuan oleh Speaker mengenai keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka itu, maka SPR meluluskan bahawa tiada PRK bagi kerusi Jelebu akan dijalankan,” katanya.

    Menurut Mohd Hashim, beliau telah menerima surat pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 12 Dis lepas.

    Beliau menjelaskan, mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, jika terdapat kekosongan luar jangka yang dipastikan dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan Persekutuan akan terbubar, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi, melainkan Speaker Dewan Rakyat menyatakan keperluan untuk berbuat demikian.

    Zainuddin, 58, meninggal dunia pada 6 Dis lepas akibat komplikasi ketumbuhan pada otak. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Keperluan PRK Di Jelebu – SPR "