• TH Teliti Cadangan Kendali Pengurusan Umrah

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti secara mendalam cadangan yang diutarakan kepada pihaknya dalam mengendalikan hal-hal berkaitan pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan umrah bagi jemaah Malaysia.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah berkata TH mengambil positif saranan yang dibuat oleh semua pihak untuk menangani kes penipuan pakej umrah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    "Kajian yang lebih mendalam perlu dibuat dari pelbagai aspek kerana pengurusan umrah berbeza daripada haji dan ia berjalan hampir sepanjang tahun.

    "Hasil daripada kajian ini perlu diperhalusi dengan teliti sebelum sebarang keputusan atau perubahan akta dicadangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Johan berkata TH juga perlu melihat dari sudut manfaat serta kesan yang bakal memberi impak kepada pendeposit TH yang pengurusan umrah melibatkan struktur kos yang berbeza.

    Menurutnya TH juga perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan semua pihak berkuasa dan berwajib supaya cadangan tersebut dapat dibentangkan secara menyeluruh demi kepentingan dan kebaikan semua pihak.

    Sementara itu, TH menyarankan orang ramai yang ingin menunaikan umrah agar menggunakan perkhidmatan syarikat pelancongan yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Oktober lalu. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " TH Teliti Cadangan Kendali Pengurusan Umrah "